USM WAKIL TUNGGAL NEGARA BERTANDING DI SPACEPORT AMERICA CUP 2022
NIBONG TEBAL, 16 Jun 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi satu-satunya wakil universiti awam negara yang layak menyertai Pertandingan Spaceport America (SA) Cup 2022 di New Mexico, Amerika Syarikat.
Pertandingan SA Cup 2022 merupakan persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti yang terbesar di dunia.
Pasukan yang terdiri daripada 11 orang pelajar sarjana muda dari kampus kejuruteraan USM itu menggelarkan pasukan mereka dengan nama WAU Rocketry USM.
Pasukan berkenaan akan berlepas ke Amerika Syarikat pada 16 Jun dengan pesawat Malaysia Airlines yang juga merupakan salah satu penaja utama perjalanan.
Sebagai tanda sokongan, syarikat penerbangan kebangsaan itu telah menaja lima tiket (5) pergi balik dari Pulau Pinang ke destinasi dalam rangkaiannya dan telah menawarkan diskaun sebanyak 40% kepada ahli pasukan lain untuk Lapangan Terbang Antarabangsa El Paso, Texas yang akan berentap di dalam kategori ketinggian 10,000 kaki dan kategori ‘Commercial of the shelf category (COTS)’.
Pasukan ini menamakan roket mereka HEBAT, dan roket ini merupakan roket berkuasa tinggi buatan pelajar yang pertama di Malaysia.
Roket HEBAT akan membawa sebuah nanosatelit seberat 4 kilogram dengan misi mengukur keadaan persekitaran dan menjalankan transmisi data ke stesen bumi. Berat keseluruhan roket bersama beban bayar adalah 30 kilogram dan berketinggian 3.3 meter.
Ketua Pasukan WAU Rocketry USM, Vanmitha Athimoolam berkata, sebanyak 191 pasukan menyertai peringkat awal pertandingan dan hanya 151 yang terpilih. Namun, setelah melalui beberapa peringkat pemilihan yang seterusnya, hanya 63 pasukan yang akan berada di New Mexico untuk melancarkan roket dalam pertandingan ini.
“Kami berharap dapat mencapai sasaran altitud yang ditetapkan seterusnya berada dalam ranking tertinggi dalam pertandingan ini. Kami berharap dengan pencapaian WAU Rocketry ini, ia akan dapat memupuk minat belia di Malaysia dalam bidang STEM khususnya dalam teknologi angkasa,” tambahnya lagi.
Penasihat Pasukan, Dr. Norilmi Amilia Ismail pula berkata, penyertaan pelajar ini akan mendapat pendedahan kepada industri teknologi angkasa yang mana mereka berpeluang bertemu dengan syarikat-syarikat utama dalam bidang angkasa semasa di New Mexico nanti.
“Selain itu, pelajar juga dapat menggunakan ilmu dan mengasah bakat mereka semasa menjalankan projek ini. Ini adalah salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan dalam membentuk tenaga kerja di masa hadapan,” katanya.
Manakala, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan bagi Malaysia Aviation Group, Philip See berkata, “Sebagai syarikat penerbangan negara, kami berbangga kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dalam menyokong pasukan WAU Rocketry USM dalam misi mengharumkan nama Malaysia ke pentas dunia.”
“Kami berharap sumbangan ini dapat meningkatkan lagi semangat para pasukan untuk memberikan yang terbaik dalam pertandingan dan menikmati pengalaman penerbangan dengan selesa dan yakin yang mengutamakan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi kepada semua penumpang dalam setiap langkah di sepanjang penerbangan.
“Ini merupakan tanda sokongan kami kepada bakat muda yang akan menjadi perintis dan inspirasi terutamanya dalam pembangunan industri aeroangkasa negara yang mampan di masa hadapan,” menurut Philip See.
Sebanyak 22 negara menyertai pertandingan ini dan buat pertama kalinya negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Thailand menyertai pertandingan ini.
Pertandingan ini berlangsung pada 20 – 25 Jun 2022 dan dianggarkan seramai 1,500 pelajar akan berkumpul di fasiliti ‘Spaceport’ yang bertaraf dunia.
Sumber: Kenyataan Media bersama USM & Malaysia Airlines (16 Julai 2022)/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman & Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 471