PRIHATIN: SUMBANGAN WARGA USM DISAMPAIKAN KEPADA IBU EMPAT ANAK
PULAU PINANG, 31 Julai 2013 - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian derita seorang ibu yang melihat empat orang anaknya yang berusia 10 - 17 tahun berjalan kaki ke sekolah di Sungai Ara, Sungai Nibong dan Bayan Baru walau pun masih kecil dan dia sendiri menanggung kesakitan kanser payu dara sejak empat tahun lalu, manakala suami, seorang mualaf merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.
Kisah keluarga Solihati Nahrawi, 45 yang berasal dari Medan Indonesia itu mendapat perhatian warga Universiti Sains Malaysia (USM) yang prihatin yang telah memberikan sumbangan termasuk wang tunai untuk diserahkan kepadanya di Flat Bukit Jambul di sini hari ini menjelang sambutan aidil fitri ini.
“Saya bersyukur dengan pelbagai bentuk bantuan yang diterima dari pihak USM termasuk sumbangan pembiayaan tuisyen untuk anak bongsu saya dan juga barangan keperluan hari raya,” kata Solihati.
“Pada tahun lalu saya pulang ke Medan untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara saya dan kemudian terpaksa menjalani rawatan kemoterapi kerana keadaan kesihatan saya yang semakin tidak mengizinkan untuk pulang. Saya terpaksa membiarkan empat orang anak saya tinggal bersendirian di rumah tanpa saya dan ayah mereka,” tambah beliau.
Beliau akan menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang pada 19 Ogos ini serta mendapatkan rawatan susulan untuk mengubati penyakit yang dihidapi.
Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Bendahari USM, Salmiah Che Puteh, Pengarah KANITA, Profesor Madya Dr. Noraida Endut dan juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Rohayati Daud. Teks dan foto: Cik Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 948