PROGRAM PENYELIDIKAN TRANSLASIONAL IPPT SEJAJAR USAHA MELESTARIKAN AGENDA PENYELIDIKAN
IPPT BERTAM, 20 Jun 2022 – Usaha terus dilaksanakan dalam mentransformasikan penyelidikan, sejajar dengan matlamat merealisasikan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pemacu dalam bidang penyelidikan bersifat translasional yang berfokus dan memberi impak kepada negara dan masyarakat.
Itulah di antara tujuan diadakan Majlis Perasmian Program Penyelidikan IPPT yang telah berlangsung di Dewan Auditorium Sains@BERTAM, Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju (IPPT) USM hari ini.
Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, dan disaksikan oleh Pengarah IPPT, YM Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.
Empat tajuk program penyelidikan IPPT bersifat translasional (Translational Research Initiative) berjaya dinobatkan sebagai Program Penyelidikan Tujahan IPPT yang berimpak tinggi iaitu:-
- Tajuk program penyelidikan I: Emerging Infectious Disease: Preparation for Disease X.
- Ketua program: Dr. Ng Siew Kit.
- Penerangan ringkas: Bertujuan untuk menyahut seruan negara kita untuk membuat persiapan rapi dan direka mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Global Preparedness Monitoring Board untuk memastikan daya tahan dan kebingkasan terhadap penyakit berjangkit yang belum dapat dikenal pasti.
- Tajuk program penyelidikan II: Advanced Management of Liver Malignancies.
- Ketua program: Dr. Mohd Syahir Mansor.
- Penerangan ringkas: Bertujuan untuk menambah baik pengurusan liver malignan melalui kaedah pemeriksaan terkini, rawatan dan pendekatan selepas rawatan, dan empat projek teras yang akan melibatkan penilaian teknik semasa, meneroka teknik pemeriksaan dan rawatan baharu yang dipertingkatkan dengan menggabungkan kaedah sinaran dan molekul.
- Tajuk program penyelidikan III: Dementia Multidisciplinary Research Program of IPPT (DMR-IPPT).
- Ketua program: Dr. Mohammad Farris Iman Leong Abdullah.
- Penerangan ringkas: Bertujuan untuk membangunkan teknologi diagnosis bersepadu untuk pengesanan awal, mengesahkan model risiko demensia sedia ada dan ramalan, intervensi bukan farmakologi dan program pencegahan integratif multimodal untuk individu yang berisiko. Program ini juga menyasarkan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit demensia dan juga penjaga pesakit tersebut.
- Tajuk program penyelidikan IV: Breast Cancer Translational Research Program at IPPT (BCTRP@IPPT).
- Ketua program: Profesor Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya.
- Penerangan ringkas: Menghasilkan output yang menjadi tumpuan global dalam penyelidikan kanser payudara dan pengurusan pesakit secara holistik, membangun dan menyampaikan pendekatan menyeluruh dengan meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser payudara melalui penemuan biomarker dalam ramalan risiko, pengesanan awal, perkembangan kanser (cancer progression), terapi lanjutan dan intervensi.
Naib Canselor turut menyampaikan watikah kepada setiap ketua program penyelidikan berkenaan.
Dengan itu juga, IPPT perlu memastikan kesemua program penyelidikan yang dijalankan akan menjurus ke arah bidang-bidang tujahan penyelidikan tersebut, dan program penyelidikan yang dikenal pasti itu perlu kekal dan berkembang maju sekurang-kurangnya bagi tempoh 8 tahun.
Penyelidikan translasional berupaya mewujudkan sebuah ekosistem penyelidikan berimpak tinggi dari segi: Penghasilan Bakat; Berkeupayaan untuk mendapatkan geran penyelidikan dalam dan luar negara; Keupayaan untuk mewujudkan peluang kolaborasi kebangsaan dan antarabangsa; Mendapat pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa; Harta intelek; Pengkomersialan hasil penyelidikan; dan Impak kepada masyarakat.
Sebanyak sembilan kumpulan penyelidik telah mengambil bahagian dalam mengemukakan kertas kerja dan telah melalui proses penilaian yang ketat oleh pakar-pakar terkemuka di USM, yang berkesudahan dengan empat program penyelidikan yang terpilih dan diperakukan di IPPT.
Bagi memulakan program penyelidikan tersebut, USM telah menempatkan dana seed fund sejumlah RM850,000 pada tahun pertama dan program-program penyelidikan dijangka akan memakan belanja beberapa juta ringgit untuk tempoh 15 tahun akan datang.
Kesemua program penyelidikan itu bukan sahaja disokong oleh USM tetapi juga agensi kerajaan lain, industri luar dan juga badan bukan kerajaan (NGO).
Teks: Mahirah Mahyidin/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Norizan Ishak
- Created on .
- Hits: 784