USM TURUT BERSEDIA LAHIRKAN PEMIMPIN YANG HEBAT SERTA BEBAS RASUAH
USM PULAU PINANG, 17 Jun 2022 – Program Konvoi #RasuahBusters Gegar Wilayah Utara di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang telah dimulakan sejak 12 Jun lalu dan destinasi terakhir mereka adalah berkunjung ke Universiti Sains Malaysia (USM) tempoh hari.
Dengan membawa misi menyebarkan kesedaran anti-rasuah dalam kalangan masyarakat dan menjalin kebersamaan gerakan rakyat demi melahirkan Malaysia tanpa rasuah, program ini telah disambut baik dari pelbagai pihak.
Penasihat Undang-undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi berkata, beliau sangat gembira dengan program ‘Rasuah Busters’ ini terutamanya dengan penglibatan daripada mahasiswa sendiri.
“Usaha ini perlu diteruskan bagi melahirkan generasi pemimpin yang mempunyai integriti tinggi dan bebas rasuah.”
“Melalui pendekatan yang dilakukan oleh ‘Rasuah Busters’, pendedahan yang diberikan diharap akan membuatkan pelajar lebih memahami apakah kriteria rasuah yang perlu dijauhi untuk mereka jadikan panduan,” tambahnya.
Selain itu, CEO Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Hajah Nurhayati Nordin turut berkongsikan pengalaman beliau sekitar memperjuangkan program ini bagi mencapai status Malaysia sebagai negara tanpa rasuah.
“Rasuah adalah musuh yang hebat serta memberikan kesan yang dahsyat, di mana kita bakal kehilangan jati diri, maruah serta akhlak menjadi kotor dan inilah yang saya takuti berlaku kepada anak muda kita di masa akan datang.”
“Selain itu, kestabilan politik di dalam negara kita akan tergugat kerana musuh tanpa jasad ini semakin berleluasa dan tidak diajar kepada anak-anak muda tentang bahayanya rasuah sejak awal lagi,” tambah beliau.
Program sebegini amatlah dialu-alukan serta ia merupakan sebuah usaha yang baik dalam mendidik masyarakat khususnya golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai bahayanya gejala rasuah.
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 498