PROGRAM empowerNCER-AKADEMIK USM UBAH NASIB KELUARGA - PESERTA CAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG
USM PULAU PINANG, 17 Jun 2022 – Program untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik keluarga miskin B40 Universiti Sains Malaysia (USM) yang dibiayai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mula menunjukkan hasil dalam usaha mengubah nasib keluarga mereka.
Peserta program ini, pelajar SMK Bakti, Chan Jing Ying mendapat 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pencapaian yang tidak pernah dijangkanya.
"Saya sangat gembira kerana program ini telah membantu saya untuk mencapai kejayaan yang saya tidak pernah jangkakan," kata Jin Ying yang tinggal bersama datuk dan nenek sejak lahir. Datuk dan neneknya yang telah lanjut usia kini sudah tidak bekerja dan bergantung hidup kepada bantuan saudara mara.
Jin Ying yang mendapat 2A dalam peperiksaan percubaan sebelum ini mendapat bantuan biasiswa persekolahan dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Saya ingin melanjutkan pelajaran untuk menjadi seorang akauntan serta berjaya dalam perniagaan tetapi sekarang bimbang tentang siapa yang akan menanggung pengajian kelak," katanya dalam nada sebak.
Ayahnya meninggal dunia sebelum dia dilahirkan dan ibunya menyerahkannya kepada datuk dan neneknya sebelum pergi meninggalkan mereka.
Sementara itu, pelajar SMK Teluk Kumbar, Muhammad Faris bin Mohd Salmi seperti tidak percaya mendapat 8A dalam SPM sedangkan dalam peperiksaan percubaan hanya berjaya mendapat 2A.
Anak seorang pekerja kilang itu bercita-cita ingin menjadi peguam. Sekarang Muhammad Faris sedang bekerja di restoren makanan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada USM yang mengambil inisiatif mengadakan program kelas tambahan dan bimbingan berterusan melalui tenaga pakar dan pelajar USM yang banyak membantu," kata Muhammad Faris.
Bagi pelajar SMK Pokok Sena, Nadia Syazana binti Mohammed Yusuf, mendapat 7A dalam SPM adalah di luar jangkaannya sama sekali apatah lagi dalam peperiksaan percubaan hanya mendapat 2A.
"Saya bersyukur terpilih menyertai program USM ini dengan bimbingan dan bantuan tablet serta pelan data untuk belajar semasa pandemik COVID-19," kata Nadia Syazana.
Anak ketujuh daripada 8 beradik itu dengan seorang abang sedang belajar di universiti bercita-cita menjadi seorang guru. Ayahnya pernah bekerja di syarikat akhbar dan ibunya tidak bekerja.
Kisah pencapaian tiga orang pelajar ini mewakili kejayaan sebahagian dari kira-kira 1,000 orang peserta empowerNCER yang terdiri daripada golongan keluarga B40 dan tidak menjangkakan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Program ini dijalankan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM di bawah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan USAINS Holding Sdn Bhd melalui dana NCIA/NCER.
Program kelas bimbingan, coaching oleh pelajar USM dan bantuan peralatan termasuk tablet serta pelan data dilaksanakan di 25 buah sekolah di 5 Daerah di Pulau Pinang melibatkan pelbagai kaum.
Program ini menekankan kepada komponen kecemerlangan akademik, kecekapan kemahiran dan perkembangan sahsiah serta emosi pelajar melalui pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran menarik dan menyeronokkan.
Sejumlah 993 pelajar lulus keseluruhan dan layak mendapat sijil SPM (99.3%) dengan 66 orang mendapat 5A ke atas.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1915