PROGRAM MENTOR-MENTEE USM PERTINGKAT POTENSI DAN KECEMERLANGAN PEGAWAI
USM PULAU PINANG, 14 Jun 2022 – Perkhidmatan psikologi merupakan pemangkin kepada pembangunan modal insan yang sejahtera, berintegriti dan berprestasi tinggi yang mana, pengurusan psikologi yang berkualiti, sistematik dan berkesan akan dapat membantu pengurusan sumber manusia mempertingkatkan potensi dan kecemerlangan pegawai dalam menjayakan misi dan visi dalam sesebuah organisasi.
Justeru, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar baru-baru ini telah melancarkan Program Pementoran USM 2022.
Program yang julung kalinya diadakan di USM itu merangkumi aspek pembangunan, bimbingan, khidmat nasihat, sokongan dan penambahbaikan kepada seseorang pegawai, dan dengan itu, ia dilihat mampu membantu mempertingkatkan kecemerlangan diri pegawai tersebut.
Dalam majlis pelancaran yang serba ringkas itu, Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Haji Ali dalam ucapan perasmiannya berkata, skop dalam pementoran meliputi bagaimana seseorang pegawai yang cemerlang memindahkan aspek kecemerlangan pengetahuan dan kemahiran kerja ‘tacit knowledge’ kepada perkembangan kerjaya mentee yang baru berkhidmat atau baru dinaikkan pangkat, dan skop ini juga berfokus kepada pembangunan dan peningkatan kompetensi kerja dan peribadi pegawai yang bersifat jangka panjang.
“Pementoran adalah proses perhubungan bermakna yang dibina antara mentor dan mentee, yang mana mentor dapat berkongsi ilmu, nilai dan pengalaman diri, memaklumkan keputusan dan bertindak berdasarkan idea yang dihasilkan, sementara mentee mempelajari perkongsian tersebut dan menerapkannya dalam suasana realiti pekerjaan dan kehidupan.”
“Perkongsian pengalaman dan sokongan ini melibatkan aktiviti pembentukan karakter dan personaliti mentee itu sendiri, di samping membina kecemerlangan sahsiah dan budaya kerja kelas pertama,” tambah Musa.
Menurut Musa lagi, terdapat empat skop kompetensi yang utama yang telah digariskan dalam program pementoran ini iaitu, kompetensi profesional, kompetensi budaya, kompetensi peradaban dan kompetensi sosial.
Dalam majlis tersebut, Musa merasmikan program tersebut dan menyampaikan Sijil Pelantikan Pementoran USM 2022 kepada 12 mentor dan 18 mentee.
Turut hadir ke majlis adalah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar, Mohd Azizudin Mohd Shariff dan pegawai-pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia.
Bermula 1 Januari 2022, Jabatan Perkhidmatan Awam telah memperbaharui dan menambah baik Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia dengan versi baharu iaitu Pengurusan Psikologi Versi 1.0 (2022) yang telah diangkat dan diguna pakai oleh USM termasuk ceraian PO.3.1.4 iaitu Perlaksanaan Program Pementoran Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.
Text: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 569