USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENAWARAN PROGRAM PENGAJIAN USM DI TURKIYE LAKAR SEJARAH BAHARU PENGAJIAN TINGGI

PULAU PINANG, 14 Jun 2022 – Lawatan delegasi yang diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ke Turkiye pada 12-17 Jun 2022 yang antara lain melihat dari dekat persediaan penawaran program Universiti Sains Malaysia (USM) di sana yang membuka lembaran baharu kaedah pengajian tinggi negara.

Yang turut sama dalam delegasi Menteri Pengajian Tinggi ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Polisi) Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Dato' Prof. Dr. Husaini Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran. Yang turut sama hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, YM Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir.

Lawatan ini turut disertai oleh delegasi USM iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Dekan Institut Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz dan Pengarah Pejabat Pembangunan Korporat Strategik, Haji Muhamad Sabri Said.

USM terus berusaha menarik perhatian komuniti antarabangsa untuk mengikuti pengajian ijazah pertama dan ijazah tinggi.

Kerana itu USM dan European Global School University (EGS), yang beribu pejabat di Paris, memeterai perjanjian pada bulan Disember 2021 untuk menawarkan program pesisir USM di Cawangan Besiktas, Istanbul, Turkiye.

Ini merupakan lakaran sejarah penting pengajian tinggi yang merupakan kolaborasi unggul antara universiti awam Malaysia dengan universiti antarabangsa di Eropah dalam industri pengajian tinggi.

Kolaborasi ini menjadikan USM sebagai universiti awam Malaysia pertama mewujudkan cawangan pesisir di benua Eropah.

Era endemik COVID-19 ini membuka ruang untuk universiti menerokai kaedah baharu pengajian tinggi terutamanya dalam usaha menarik pelajar antarabangsa sebagai peluang baharu mengantarabangsakan universiti.

Program pesisir USM di Turkiye melibatkan 34 program pengajian yang telah mendapat kelulusan Senat dan menumpukan kepada program-program Ijazah Tinggi dan program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan secara hibrid.

Program pesisir USM-EGS ini bermodelkan konsep usaha sama dengan silibus dan kualiti akademik akan dikawal selia oleh pihak USM, manakala fasiliti kemudahan pembelajaran dan makmal akan disediakan oleh pihak EGS.

Peruntukan pelaburan yang dibuat oleh EGS pada masa ini sekitar USD5 juta untuk tempoh lima tahun termasuk menyediakan bangunan 10 tingkat dan fasiliti dalaman untuk para pelajar.

Bagi mendapat kembali pulangan pelaburan tersebut, program ini akan berjalan selama 10 tahun dan terdapat pembahagian yuran bagi menampung kos fasiliti dalam menjalankan kursus di Turkiye.

Sejak dilancarkan kampus pesisir ini, sebanyak 135 pelajar antarabangsa telah memohon untuk program yang ditawarkan di Istanbul Turkiye ini.

Sebelum ini USM juga menawarkan program ijazah Doktor Perubatan (Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE) di Belgaum, India sejak tahun 2010. Sehingga kini seramai 668 orang siswazah telah dihasilkan melalui pengajian pesisir ini.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 300

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024