PROGRAM KRIS KPT DAN HOSPITAL USM BERI PENDEDAHAN PENJAGAAN ASAS KESIHATAN KEPADA MASYARAKAT ORANG ASLI
GUA MUSANG, KELANTAN, 12 Jun 2022 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli Pos Balar menerusi Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) pada 8 hingga 10 Jun lalu.
Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital USM merangkap Pengarah Projek, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab berkata, program itu diadakan bertujuan untuk membangunkan sukarelawan terlatih dalam kalangan Orang Asli berkaitan ilmu asas pertolongan cemas seperti 'cardiopulmonary resuscitation' (CPR), mengatasi masalah tercekik makanan, penjagaan asas kesihatan dan balutan luka serta pemerkasaan penjagaan kesihatan oral.
“Inisiatif ini juga bertujuan untuk menjadikan sebilangan kecil penduduk dari suku kaum Temiar sebagai perawat asas untuk kira-kira 800 masyarakat Orang Asli di pos terbabit, ekoran keadaan faktor muka bumi yang berbukit-bukau dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda sahaja untuk keluar masuk.
“Tambahan pula, masa perjalanan yang lama antara enam hingga lapan jam menyebabkan masyarakat Orang Asli di sini sukar untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran.
“Pakar Perubatan Kecemasan akan mengenal pasti sukarelawan yang terpilih untuk mengikuti kursus jangka pendek di Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital USM yang dijadualkan berlangsung selama tujuh hari pada bulan September nanti,” ujarnya.
Tambah Shaik Farid, kursus di bawah program KRIS 2022-2023 ini diharap dapat membantu masyarakat 10 kampung di Pos Balar sekiranya mengalami kecemasan sementara menunggu bantuan perubatan khusus tiba.
“Melalui kursus jangka pendek ini, mereka akan diberi pendedahan kepada cara merawat luka, membuat CPR, penjagaan selepas bersalin dan kesihatan oral (pergigian),” katanya lagi.
Program kali ini disertai oleh 43 orang peserta menggunakan 20 buah kenderaan pacuan empat roda yang terdiri dari Pakar Perubatan Kecemasan, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Jururawat, Pembantu Perawatan Kesihatan, Pembantu Pembedahan Pergigian serta pelajar Program Perubatan USM Kampus Kesihatan.
Menurut Shaik Farid, pihaknya kerap masuk perkampungan Orang Asli di Gua Musang sebelum ini melalui misi kemanusiaan tetapi ia tiada kesinambungan kerana mereka sekadar menghantar bekalan ubat, memberi rawatan pemeriksaan percuma serta bantuan makanan.
"Kelainan program pada kali ini adalah kami ingin memberi sesuatu yang bersifat kekal kepada masyarakat orang asli iaitu dengan menyediakan ilmu rawatan dan perubatan asas sekiranya berlaku kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib.
Teks/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 558