USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG DAN ISTERI MELAWAT PUSAT KAJIAN SAMUDERA DAN PANTAI USM

IMG 3146

TELUK BAHANG, 10 Jun 2022 – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dan isteri Toh Puan Seri Utama Khadijah Mohd Nor hari ini mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM) di Muka Head, Teluk Bahang.

Beliau disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Pengarah CEMACS, Profesor Dato' Dr. Aileen Tan Shau Hwai serta Profesor Kehormat, Profesor Dr. Zulfigar Yasin.

Yang di-Pertua Negeri dan isteri kemudiannya dibawa melawat makmal penyelidikan, makmal penetasan tiram, abalon, timun laut, gamat, crayfish, kerang dan rumpai laut serta Muzium Khazanah Lautan yang terdapat di sini, selain diberikan taklimat oleh Pengarah CEMACS mengenai usaha penyelidikan dan pembangunan ekosistem marin serta pesisir yang sedang giat dijalankan.

Antaranya ialah penerangan mengenai penjagaan dan pemprosesan kultur benih tiram dan hidupan laut yang lain di pusat kajian tersebut.

TYT Tun dan Toh Puan turut dijamu dengan hidangan istimewa hasil ternakan kultur benih tiram “Oyster” dan latok "Vegetarian Caviar" yang disediakan oleh pihak CEMACS.

CEMACS yang diasaskan pada Ogos 1991 ialah pusat kajian laut dan pantai tertua di negara ini. Pusat ini menjalankan penyelidikan dan latihan tertumpu kepada biodiversiti serta pemuliharaan ekosistem laut, ekosistem pantai, ekosistem hutan pesisir, marikultur selain kajian ekologi mamalia laut (dugong dan ikan lumba-lumba).

TYT Tun dan Toh Puan kagum dengan kehebatan fasiliti penyelidikan dan pelancongan pendidikan yang terdapat di CEMACS serta beberapa usaha penyelidikan berpotensi yang sedang giat dijalankan di pusat tersebut.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 363

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024