USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RENTAK PEGARI, SAYAU TRADISI

USM PULAU PINANG, 11 Jun 2022 – Setelah beberapa tahun kemeriahan dan keindahan seni tarian budaya etnik Negeri Sabah tidak dapat dirasai berikutan penularan wabak COVID-19, akhirnya tahun ini ia kembali semula buat kali ke-14 melalui program ‘Malam Citra Bayu’.

Program anjuran Perkumpulan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) Universiti Sains Malaysia (USM) tahun ini turut melibatkan enam universiti lain yang bertanding iaitu USM, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di dalam ucapan perasmian, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, program malam ini merupakan program yang ikonik buat USM, selain membawa sesuatu yang sungguh bermakna bukan sahaja kepada mahasiswa/siswi yang berasal dari negeri Sabah tetapi juga kepada warga kampus secara keseluruhannya.

“Program sebeginilah yang kita inginkan dan perlu diberi galakan kerana dapat menyemai nilai-nilai kebudayaan, keharmonian dan kerjasama yang berkekalan.”

“Pihak universiti juga akan terus menyokong serta menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti kebudayaan seumpama ini yang dapat menyumbang ke arah kecemerlangan universiti,” tambah beliau.

Di dalam program yang gemilang ini, pasukan tarian USM telah berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan seterusnya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 dan sijil.

Manakala Johan bagi edisi kali ini yang berjaya membawa pulang wang berjumlah RM2,000 jatuh kepada pasukan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi di masa hadapan bagi meningkatkan kefahaman serta memelihara seni budaya tanah air yang tercinta.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pulau Pinang, SHAPEE CHE EMBI; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Pulau Pinang, JONATHAN FREDDY P. BAGANG; Presiden Majlis Belia Sabah, ABQAREE FAWWAZ ABEKAN; Pengarah Dewan Budaya USM, RAMNAH RAMLI; Penasihat Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) USM, ANDY SITI NURHIDAYAH RAHIM; Yang Di-Pertua PERSIS USM, MUHAMMAD ZIKRI ROSLE; dan Pengarah Program Malam Citra Bayu kali ke-14, RANDAL HANS AUTHER.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 376

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024