HIMPUN BUDAYA HIDUPKAN SEMULA SENI BUDAYA YANG KIAN DILUPAKAN
PULAU PINANG, 10 Jun 2022 – Tahun demi tahun, adat, tradisi serta warisan kebudayaan semakin dilupakan, di kala dunia ini semakin canggih dengan pelbagai kemajuan teknologi serta peralatan yang diwujudkan.
Oleh itu, usaha telah diwujudkan oleh Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM) yang mana pelbagai aktiviti kebudayaan telah dihimpunkan di bawah satu bumbung yang diberi nama ‘Himpun Budaya 2022’.
Pengarah Dewan Budaya, Puan Ramnah Ramli berkata, pelaksanaan program ini adalah satu inisiatif terbaik dalam memulih dan merancakkan semula suasana kemeriahan di kampus.
“Harapan saya adalah program yang dirancang ini mampu memberi manfaat kepada semua pihak dan meningkatkan kesedaran terhadap betapa pentingnya usaha memartabatkan kelestarian seni dan budaya serta dapat mempromosikan seni dan budaya ini dalam kalangan warga universiti dalam suasana yang tenang sambil kita berhibur.”
Himpun Budaya 2022 telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Kata Azlinda, “Himpun Budaya ini tentunya akan membawa manfaat dan pendedahan yang besar kepada para mahasiswa dan mahasiswi dari aspek keunikan seni dan kebudayaan yang pelbagai.”
“Harapan saya agar tradisi dan seni kebudayaan ini dapat dijaga serta diteruskan untuk generasi yang akan datang kerana ia merupakan aset kepada masyarakat kita.”
Tambah beliau, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM menyokong penuh aktiviti sebegini terutamanya dengan penglibatan pelajar dalam menggalakkan penerapan elemen HEBAT dalam diri mereka.
Bak kata seorang ilmuwan, jika mahu melihat bagaimana masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah bagaimana generasi muda negara tersebut pada hari ini.
Bertemakan “Sekampung Budaya Merimbun”, program Himpun Budaya 2022 adalah anjuran Dewan Budaya USM dengan kerjasama Sekretariat Protege USM, Sekretariat Permuafakatan Siswa/i FELDA (PERSADA) USM, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Malaysian Craft Council (MCC), USM.CREATE @ George Town, BHEPA USM dan Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS) USM, menggabungkan 13 program menarik berteraskan seni dan kebudayaan yang berlangsung dari 10-13 Jun 2022.
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 501