USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

VAKSIN DAN SISTEM PERTAHANAN BADAN

C5B0D4D5 2C43 4256 84A5 E7CDB282F2B7
KOTA BHARU, KELANTAN, 9 Jun 2022 – Vaksin merupakan bahan yang dapat merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan kuman atau penyakit tertentu. 

Menurut Pensyarah Imunologi Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Maryam Azlan, kandungan vaksin terdiri daripada bahan yang telah dinyahaktif serta tidak bersifat merbahaya. 

“Penghasilan vaksin perlu melalui ujian klinikal yang sangat ketat serta penilaian risiko terhadap manusia sebelum diluluskan untuk pemasaran dan penggunaan yang meluas. 

“Pemberian vaksin telah lama dijalankan di Malaysia melalui Program Imunisasi Kebangsaan," katanya ketika menjadi tetamu rancangan sembang Sihat Di Radio Kelantan FM. 

Tambah Maryam, vaksin bersifat spesifik iaitu sejenis vaksin hanya untuk mencegah sejenis kuman atau penyakit sahaja. 

"Walau bagaimanapun, dengan kecanggihan teknologi masa kini, terdapat beberapa vaksin yang digabungkan dalam 1 dos seperti vaksin DTap-IPV-HepB-Hib iaitu kombinasi vaksin yang memberi perlindungan terhadap difteria, tetanus, pertussis, polio, hepatitis B dan haemophilus influenza type B. 

"Dengan adanya gabungan beberapa vaksin dalam 1 dos, ia membantu memudahkan proses pemberian suntikan serta mengurangkan kekerapan mendapatkan suntikan," ujarnya lagi. 

Maryam berkata, vaksin juga merupakan salah satu cara untuk melatih badan menghasilkan antibodi tanpa perlu mengalami sakit. 

"Terdapat pelbagai jenis vaksin yang bertindak dengan cara yang berbeza-beza dan vaksin memperkenalkan badan seseorang kepada virus bagi mengarah sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi yang akan melawan jangkitan kuman dan mengelak daripada jangkitan bertambah merebak. 

"Jangkitan semulajadi juga menyebabkan penghasilan antibodi oleh badan dan berisiko terkena jangkitan penyakit yang teruk kerana badan seseorang biasanya menghasilkan antibodi pada paras yang sedikit pada jangkitan pertama dan akan menghasilkan antibodi yang lebih banyak selepas jangkitan kali kedua," ujarnya. 

Maryam turut menjelaskan, antibodi seseorang juga boleh terhasil melalui suntikan vaksin yang mana ia dapat melindungi badan, mengelak penyakit merbahaya serta antibodi yang dihasilkan akan mencegah penularan kuman sebelum badan seseorang dijangkiti penyakit. 

"Dalam sesetengah kes, seseorang itu tetap dijangkiti tetapi hanya sakit yang ringan sahaja. 

"Vaksin perlu diberi dalam beberapa dos, ada yang perlu dua (2) dos dan ada yang perlu tiga (3) dos, bilangan dos setiap vaksin bergantung kepada tahap antibodi dalam badan sama ada cukup untuk memberikan perlindungan yang optimum atau yang terbaik terhadap setiap penyakit," katanya. 

Menurut Maryam lagi, dalam sesebuah populasi, majoritinya adalah individu yang sihat serta layak menerima vaksin. 

"Namun, terdapat sebahagian kecil di antara kita yang tidak boleh menerima vaksin kerana mempunyai penyakit tertentu seperti kanser, individu yang mempunyai pertahanan badan yang lemah dan ada sesetengah vaksin yang tidak boleh diberikan kepada bayi dan kanak-kanak serta menyebabkan sebahagian golongan kecil ini terdedah kepada bahaya penyakit. 

"Apabila majoriti populasi telah mendapat vaksin, secara amnya golongan kecil ini juga akan mendapat perlindungan tetapi sekiranya imuniti kelompok atau penduduk tidak mendapat vaksin, keseluruhan populasi termasuk golongan kecil tidak akan mendapat perlindungan daripada penyakit tersebut," ulasnya lanjut.

Maryam turut memberitahu bahawa di Malaysia, melalui Program Imunisasi Kebangsaan, terdapat kurang daripada 20 jenis vaksin sedangkan penyakit merbahaya dan yang memerlukan vaksin amat banyak serta masih terdapat banyak lagi penyakit-penyakit yang masih belum ditemukan vaksinnya. 

"Bagi melindungi diri dan keluarga, setiap individu perlu mengambil vaksin yang telah disediakan di Malaysia dan selebihnya bagi penyakit yang belum ada vaksin hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengambil makanan yang berkhasiat serta bersenam untuk memastikan sistem pertahanan badan sentiasa dalam keadaan baik bagi melawan sebarang penyakit," katanya. 

Teks: Anawiah Abdul Aziz/Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 407

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024