USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMERKASAAN KOMUNITI MAMPU DICAPAI MELALUI PERANAN SEMUA PIHAK DALAM MEMBUAT PERANCANGAN RAPI

USM PULAU PINANG, 9 Jun 2022 – Siri keempat program ‘Leadership in Academic-Society Experiential Relationship’ (LASER) yang berlangsung selama dua hari (8–9 Jun) di Balai Paseban, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) telahpun berakhir dengan jayanya.

Fokus di hari kedua LASER lebih tertumpu kepada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang memberikan ucaptama bertajuk ‘Pemerkasaan Komuniti Melalui Teknologi Berkesan dan Inovasi.’

Abdul Rahman berkata, masalah yang dihadapi oleh negara Malaysia bukanlah daripada segi infrastruktur, tetapi dari segi sokongan serta bakat baharu.

“Kadang kala projek yang dijalankan menghadapi masalah seperti pengeluaran yang melebihi pulangan atau keuntungan yang bakal diperolehi sejurus projek tersebut dijalankan.”

Tambah beliau, “Sesetengah syarikat memohon bajet bagi menjalankan sesuatu projek, namun begitu, sejurus pemohonan bajet diluluskan, mereka seolah-olah tiada hala tuju dan ini merupakan perkara tidak diingini berlaku serta perlu dielakkan melalui perancangan yang rapi.”

Bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku, beliau menyarankan kepada semua pihak untuk sentiasa mengutamakan perancangan yang rapi, memilih teknologi yang berkesan serta mewujudkan sebuah inovasi bagi jangka masa panjang.

Program yang dilaksanakan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM adalah hasil mandat yang diberikan oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) kepada pihak USM.

Program LASER kali ini melibatkan sejumlah 40 orang peserta yang terdiri daripada Pendaftar, Pengarah, Timbalan Pendaftar, Timbalan Pengarah dan barisan Pegawai Universiti Awam (UA) & Universiti Swasta (US).

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Teks: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 421

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024