PERANCANGAN YANG RAPI KUNCI KEJAYAAN USM BERADA DI PERSADA DUNIA
PULAU PINANG, 8 Jun 2022 – Siri keempat program ‘Leadership in Academic-Society Experiential Relationship’ (LASER) yang berlangsung selama dua hari (8-9 Jun) di Balai Paseban, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) telahpun berakhir dengan jayanya.
Program yang dilaksanakan oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM adalah hasil mandat yang diberikan oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) kepada pihak USM.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan di dalam ucapan perasmiannya berkata, melalui program LASER ini beliau mengharap ia dapat menjadi platform yang mampu membangunkan kepimpinan akademik yang memberi penekanan kepada agenda memasyarakatkan pengajian tinggi melalui usaha libatsama universiti-komuniti.
“Kita tahu dan sedar betapa masyarakat kini berhadapan dengan pelbagai isu dari segi kos sara hidup, pendapatan isi rumah, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, latihan, kemahiran dan keusahawanan.
“Malah isu utama seperti ‘food security’ turut menjadi agenda penting yang perlu dilihat dengan mendalam dalam memastikan kesejahteraan masyarakat secara berterusan. Isu-isu ini perlu diteliti dan boleh menjadi agenda utama dalam program LASER ini.”
Sebagai pemberi ucaptama pertama pada program kali ini, Faisal Rafiq banyak menekankan beberapa aspek penting dalam ‘Pembinaan Warganegara dan Negara Bangsa yang Baik Melalui Strategik Pemerkasaan Kejiranan.’
“Perkara pertama yang perlu kita titikberatkan dalam setiap projek yang dijalankan atau dihasilkan adalah setiap perbuatan perlu disertakan dengan perancangan yang rapi kerana tanpa keputusan yang baik, orang tidak akan memandang projek tersebut sebagai suatu kejayaan.”
“Ini telah dibuktikan selepas USM menjadi antara universiti yang mendapat pulangan hasil yang tertinggi, dan ini berjaya dicapai di atas beberapa faktor penting yang mungkin kita semua dapat pelajari di dalam program yang dijalankan ini,” tambah beliau.
Faisal Rafiq turut kongsikan kampus induk USM bakal menjadi kampus yang menggunakan sistem solar secara berskala tinggi tanpa mengeluarkan apa-apa bajet dalam tempoh pemasangan serta pelaksanaan kelak.
Selain itu, USM sentiasa mengukur impak daripada hasil setiap tindakan yang diambil bagi menjamin pulangan yang besar serta impak positif kepada pemegang taruhnya.
Program LASER kali ini melibatkan peserta daripada 15 buah Universiti Awam (UA) dan juga 4 buah Universiti Swasta (US) iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Malaysian Multimedia University (MMU), University of Nottingham Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Teks: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 391