USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISWAZAH USM DISERU KEMBALI BERBAKTI KEPADA ‘ALMA MATER’ UNTUK MEMAJUKAN UNIVERSITI

USM PULAU PINANG, 2 June 2022 – Kembalilah berbakti kepada USM iaitu alma mater kebanggaan anda, demikian seru Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dalam Sidang Keempat Upacara Konvokesyen ke-59 USM yang baru berlalu.

8D6B8B52 71AC 4711 A186 DE2A80938847“Anda semua sekarang menjadi alumni USM, dan sebagai alumni, adalah penting untuk anda menjadi ‘role model’ dan menabur bakti kepada USM demi kemajuan universiti.

“Sebagai ahli alumni, saudara-saudari diseru untuk bersama-sama memajukan universiti dan mencadangkan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi universiti.

“Ini kerana alumni adalah aset kepada universiti, yang mana sumbangan serta penglibatan para alumni berupaya untuk menaikkan reputasi universiti, tidak kira di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” kata Zulkefli.

“Universiti mempunyai pelbagai program pelajar dan masyarakat khususnya golongan B40, yang mana memerlukan penglibatan alumninya, dan anda semua boleh menyokong dan memberi sumbangan secara sukarela sama ada dari segi masa, fikiran, tenaga, ilmu pengetahuan mahupun wang ringgit kepada universiti bagi meneruskan pembangunan universiti,” kata beliau.

Jelasnya lagi, penglibatan alumni dapat mewujudkan saluran yang memudahkan hubungan yang erat di antara alumni dengan pelajar dan universiti, yang mana ia dapat memberi faedah bermakna dalam memperkayakan pengalaman pelajar semasa berada di USM.

Menurut Zulkefli juga, sebagai alumni di sesebuah institusi, adalah penting untuk menjaga nama baik universiti dan sentiasalah berbangga dengan USM.

Zulkefli memesan para siswazah untuk sentiasa ingat akan jasa ahli keluarga atau individu yang telah mendidik, membimbing, membantu dan menyokong mereka untuk mencapai kejayaan pada hari ini serta membuktikan bahawa mereka yang kini bergelar alumni USM adalah warga dunia yang mempunyai kelebihan intelek, nilai jati diri, beretika dan saksama.

Beliau turut mengingatkan mereka bahawa ibarat peribahasa ‘bara yang digenggam biar sampai jadi arang’, kejayaan yang digapai pada hari ini tidak lahir dengan sendirinya tanpa usaha, komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang proses menuntut ilmu.

Di akhir ucapan, Zulkefli memetik kata-kata dari John F. Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat, iaitu “I THINK THE SUCCESS OF ANY SCHOOL CAN BE MEASURED BY THE CONTRIBUTION THE ALUMNI MAKES TO OUR NATIONAL LIFE.”

Beliau sebelum itu menyampaikan ijazah kepada 666 orang siswazah Sarjana dalam bidang Sains Gunaan, Kejuruteraan, Senibina, Sains Tulen, Sains Kesihatan, Perubatan dan Pergigian serta Sains Kemasyarakatan di Sidang Keempat Upacara Konvokesyen ke-59 USM yang berlangsung pada 23 Mei 2022 di Dewan Tuanku Syed Putra di sini.

Keseluruhan alumni yang dihasilkan oleh USM kini ialah seramai 192,269 orang.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 386

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024