ISTAF IKTIRAF SUMBANGAN DUA STAF USM DALAM SEPAK TAKRAW DUNIA
Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengiktiraf sumbangan besar dua orang staf Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program pembangunan sepak takraw di rantau ini terutamanya Indonesia, Jepun dan Jerman.
Dalam emelnya kepada Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, Setiausaha Agongnya, Datuk Abdul Halim Kader berkata, ISTAF berbangga dengan sumbangan dua orang warga USM, Mahadzir Mokhtar dan Shanizam Ab. Rahim yang secara ikhlas telah memberikan sumbangan besar dalam memberikan pengetahuan dan kemahiran baharu serta peralatan sepak takraw untuk masyarakat di Indonesia memandangkan mereka agak kekurangan dalam usaha memajukan sukan sepak takraw.
“Pengetahuan baharu ini juga dikongsikan melalui program latihan untuk membantu pasukan Jepun terutamanya dalam pembangunan sukan tersebut di beberapa buah universiti di sana,” kata Halim.
Tambahnya lagi, malah sekarang ini kita telah berjaya menarik perhatian India, Bangladesh, Filipina dan Singapura yang sangat terbuka dalam menerima pendekatan baharu dalam latihan yang dikendalikan oleh kedua-dua mereka.
“Secara peribadi, saya ingin menyatakan penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan kedua-duanya dan mengharapkan agar sepak takraw akan menjadi satu revolusi baharu secara global dalam beberapa tahun yang akan datang ini,” kata Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia.
ISTAF mengiktiraf sumbangan mereka yang telah membantu menggerakkan sukan ini secara langsung atau tidak langsung yang berupaya membuka mata dunia terhadap keupayaan kepakaran yang ada di negara ini di samping Thailand yang mendominasinya dan telah mendapat pengiktirafan dunia.
ISTAF ditubuhkan pada tahun 1992 untuk mempromosikan sukan sepak takraw dalam kalangan 75 buah negara di seluruh dunia dan menjadi sebahagian dari acara sukan olimpik. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1718