NAIB CANSELOR TINJAU PERSIAPAN PELAJAR SERTAI PERTANDINGAN SPACEPORT AMERICA CUP 2022 DI BAWAH WAU ROCKETRY TEAM USM
NIBONG TEBAL, 9 Jun 2022 – Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini meninjau persiapan pasukan roket dari Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia, WAU Rocket yang merupakan pasukan pertama Malaysia yang layak dipilih untuk melancarkan roket dalam pertandingan Spaceport America Cup 2022 pada 21-25 Jun 2022.
Mereka akan bertolak ke Amerika Syarikat pada 16 Jun 2022 ini.
Yang turut sama hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Dr. Farzad Ismail; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfaa Mohamed serta penyelia Dr. Norilmi Amilia Ismail dan Dr. Chang Wei Shyang.
Pada masa ini, pasukan WAU Rocketry telah menyiapkan roket berkuasa tinggi pertama mereka yang diberi nama Roket HEBAT sedia untuk pelancaran pertama pada pertandingan tersebut di Las Cruces, New Mexico, bagi kategori 10,000 feet Commercial of The Shelf.
Pertandingan Spaceport America Cup merupakan persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti yang terbesar di dunia.
Pasukan USM ini terdiri daripada 9 orang pelajar Kejuruteraan Aeroangkasa, 2 orang pelajar Kejuruteraan Kimia dan seorang pelajar Kejuruteraan Mekanikal yang dibimbing oleh 2 orang pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa sebagai penasihat pasukan dan 2 orang mentor yang berpengalaman dalam pembinaan roket.
Visi utama pasukan WAU Rocketry adalah untuk menggagaskan pembangunan industri aeroangkasa khususnya roket berkuasa tinggi di Malaysia dengan memberi pendedahan kepada para mahasiswa di Malaysia mengenai bidang roket serta menarik minat para mahasiswa tempatan untuk turut menyertai Spaceport America Cup pada masa hadapan.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 343