USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“FESTIVAL FILEM ANAK MUDA (FFAM) 2022: MERAIKAN BAKAT-BAKAT MUDA DUNIA PERFILEMAN”

9FBE0ED0 C2A2 4577 AEE7 B5DE8CDEEBC8
USM PENANG, 29 Jun 2022 - Dengan kerjasama Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPA) USM, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Canon Malaysia sebagai Rakan Pengimejan Rasmi, Sekretariat Protege Universiti Sains Malaysia mengambil inisiatif dalam menyokong pembangunan industri kreatif khususnya bidang perfileman dengan menganjurkan sebuah Festival Filem Anak Muda (FFAM) 2022 yang merupakan satu pertandingan filem pendek yang menyasarkan penyertaan para mahasiswa/i daripada IPT di seluruh Malaysia.

Dengan bertemakan konsep “Inspirasiku”, program ini bertujuan untuk mengasah serta memberikan ruang kepada anak-anak muda dalam mengetengahkan bakat mereka dalam bidang perfileman selain juga meningkatkan daya kemahiran menilai, memilih, membentuk dan menjana idea, konsep dan pemahaman yang konkrit berdasarkan tema yang diberikan untuk digarap dalam filem yang akan dibikin.

Festival Filem Anak Muda (FFAM) 2022 akan mencapai kemuncaknya pada tanggal 1 dan 2 Julai 2022 (Jumaat dan Sabtu) dengan penganjuran Majlis Perasmian dan Hari Tayangan Filem Pendek FFAM 2022 dan juga Malam Anugerah FFAM 2022 di Auditorium Dewan Budaya, Kampus Induk, USM Pulau Pinang. Acara gilang -gemilang ini adalah bagi meraikan karya-karya filem pendek penyertaan yang telah dihasilkan. RM8,500.00 hadiah wang tunai terkumpul menanti pemenang bagi penganjuran kali ini. Lebih menarik, edisi sulung kali ini juga akan mengangkat tiga pemenang anugerah khas bagi kumpulan peserta yang menggunakan peralatan dan teknologi perfileman jenama Canon dalam proses pembikinan filem masing-masing.

Hidup ini bagaikan wayang yang berputar. Setiap hari, kita dikelilingi dan diilhamkan dengan pelbagai perihal hebat mungkin dari segi pengalaman atau insan yang memberikan inspirasi kepada kita. Oleh hal yang demikian, diharapkan dengan adanya Festival Filem Anak Muda (FFAM) 2022 ini, pereka-pereka filem golongan muda dapat mengetengahkan kisah yang dapat menyentuh dan memberikan inspirasi kepada mereka yang menonton.

Justeru, kami ingin mengalu-alukan para mahasiswa/i USM, warga setempat Pulau Pinang dan juga warga Malaysia untuk menghadiri Festival Filem Anak Muda (FFAM) 2022 yang buat julung-julung kalinya diadakan pada 1 dan 2 Julai 2022 di Auditorium Dewan Budaya, Kampus Induk USM, Pulau Pinang. Tiket boleh didapati dengan harga RM10.00 bagi pengisian 1 Julai 2022 Majlis Perasmian dan Hari Tayangan Filem Pendek FFAM 2022 dan RM8.00 bagi Malam Anugerah FFAM 2022. Hubungi saudara Abdullah di talian 010-8966986 atau saudara Mursyid di talian 012-9807993 untuk dapatkan tiket anda hari ini.

  • Created on .
  • Hits: 969

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024