USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA PALAPES USM

usmpalpas1

PULAU PINANG, 30 Julai 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan isteri Datin Noraizan Jamaludin telah menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama warga Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) USM dan keluarga mereka serta staf universiti di Dewan Utama Pelajar di sini, semalam.

Majlis berbuka puasa tersebut yang dianjurkan khas oleh PALAPES USM merupakan acara saban tahun diadakan pada bulan Ramadhan, bertujuan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah sesama warga PALAPES dan keluarga mereka di samping mengambil keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini.  

usmpalpas2

Naib Canselor yang juga Komandan PALAPES USM, dalam ucapan ringkasnya berkata, beliau amat bersyukur kerana dapat bersama-sama berbuka puasa dengan warga PALAPES sebagai satu keluarga besar dan dalam suasana muhibbah dan silaturrahim.

“Dalam persiapan kita untuk menyambut Hari Raya yang menjelang tiba, saya ingin mengingatkan kita semua agar tidak lupa kepada mereka yang hidup dengan penuh kesengsaraan akibat kemiskinan yang amat sangat atau kerana penindasan politik yang berlaku di negara mereka,” kata Naib Canselor.

usmpalpas3

Beliau juga turut memberi nasihat kepada semua untuk memandu dengan berhemah dan berhati-hati di jalan raya semasa pulang ke kampung halaman untuk berhari raya dan selamat kembali bertugas selepas cuti raya.

Selesai berbuka puasa, Naib Canselor bersama para hadirin lain turut menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti oleh majlis makan malam.

Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Timbalan Komandan Palapes Darat USM, Leftenan Kolonel Profesor Dr. Ibrahim Jaafar, dan Ketua Jurulatih Palapes Darat USM, Mejar Mustaffa Ibrahim. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1263

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024