USM DAN CASEMIX SOLUTIONS METERAI PERJANJIAN SAMBUNG KERJASAMA UNTUK KOMERSILKAN PRODUK PENYELIDIKAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Jun 2022 – Kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Casemix Solutions Sdn. Bhd. diperkukuhkan lagi melalui penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kesinambungan beberapa aktiviti akademik seperti penyelidikan, persidangan, seminar dan konsultasi, hari ini.
Hadir menandatangani perjanjian bagi pihak USM ialah Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak, manakala pihak Casemix Solutions Sdn. Bhd. diwakili Pengarahnya, Profesor Dato’ Dr. Syed Mohamed Al-Junid Syed Junid dan Eksekutif IT, Shariffah Syazwana Al Junid.
Menurut Faisal Rafiq, USM amat mengalu-alukan kerjasama antara dua oraganisasi ini kerana di USM terdapat ramai tenaga yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam sektor kesihatan serta mampu menyumbang dan berkongsi ilmu dalam menjayakan aktiviti melalui perjanjian ini.
“Saya difahamkan, perjanjian awal telah ditandatangan pada tahun 2011 yang melibatkan projek pelaksanaan ‘Casemix System’ di Hospital USM pada tahun 2015.
“Pembaharuan perjanjian ini merupakan petanda positif bagi kolaborasi antara kedua-dua institusi dalam menjayakan agenda USM untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan penyelidikan yang ‘outstanding’ di samping menyumbang kepada pembangunan negara perindustrian dan bertamadun,” katanya.
Beliau percaya perjanjian antara Casemix Solutions Sdn. Bhd. dan USM akan menyumbang kepada kerjasama yang lebih erat di masa hadapan serta merakamkan ucapan terima kasih kepada Casemix Solutions Sdn. Bhd. kerana mempercayai USM dengan menandatangani MoA ini.
Sementara itu, Syed Mohamed Al-Junid pula berkata, perjanjian ini merupakan sambungan kerjasama terdahulu antara USM dan Casemix Solutions Sdn. Bhd.
“Ia bertujuan untuk mengkomersilkan produk-produk penyelidikan daripada Casemix dan melalui perjanjian ini lebih banyak aktiviti dapat dijalankan untuk meningkatkan kualiti serta kecekapan produk kesihatan.
“Sistem Cesemix dapat dimanfaatkan bukan sahaja kepada orang awam dalam mendapatkan rawatan lebih baik, tetapi juga mampu menjadi penanda aras kualiti dan kuantiti penggunaan sumber serta kos rawatan yang ditanggung pihak pengurusan hospital,” jelasnya.
Tambah beliau, sistem yang bersifat universal itu boleh diubah suai mengikut kehendak dan keperluan pengguna yang ingin menggunakannya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dan Pensyarah Universiti merangkap Ketua Projek Casemix USM, Profesor Madya Dr. Rosminah Mohamed.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 467