USM TUBUH JAWATANKUASA PAKAR LUAR KAJI KEUTUHAN PROSES PEPERIKSAAN IJAZAH TINGGI PERUBATAN
USM PULAU PINANG, 25 Jun 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada pakar-pakar luar untuk melihat semula keputusan proses dan sistem peperiksaan terutamanya pada peringkat ijazah tinggi bidang Sains Perubatan yang ditawarkannya.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, jawatankuasa ini akan meneliti sejauh mana integriti proses dan sistem peperiksaan yang dilakukan sekarang kepada seseorang calon.
"Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh pakar dan mereka yang berpengalaman dalam bidang ini dari pelbagai institusi," kata Faisal Rafiq.
Jelasnya, jawatankuasa ini ditubuhkan ekoran dari aduan calon pengajian Sarjana Perubatan USM yang mendakwa ketidaktelusan sistem yang ada menyebabkan calon tersebut gagal dalam pengajiannya.
Tambah beliau, Universiti telah menyiasat perkara ini secara dalaman dan mendapati sistem peperiksaan pengajian tersebut selama ini dibuat dengan teliti, mematuhi prosedur yang ketat dan mendapat penglibatan pakar-pakar luar, bukan hanya seorang pensyarah.
“Selepas keputusan diumumkan, calon-calon dipanggil untuk diberi maklum balas mengenai komponen-komponen yang perlu diperbaiki jika ada.
"Namun, untuk menegakkan ketelusan dan menjaga nama baik Universiti, USM menubuhkan pula jawatankuasa luar ini untuk benar-benar memastikan sistem dan proses ini benar-benar utuh, berintegriti dan berkredibiliti.
"Hal ini juga perlu dilakukan untuk meyakinkan semua pihak yang universiti sentiasa memastikan proses dan sistem peperiksaan yang ada memenuhi keperluan kepakaran dan profesionalisme dalam bidang berkaitan," tegas Naib Canselor.
Jawatankuasa siasatan ini akan memberi laporan dan maklum balas kepada universiti dalam masa yang terdekat.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 391