USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IMMERSION@PPSK LAMAN PELAJAR BERKARYA DAN DISKUSI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Jun 2022 – Menghasilkan graduan yang berketrampilan dari pelbagai aspek merupakan antara misi sesebuah universiti.

07A38F25 CEDF 45FD 8EEE 29B9B099D98B

Begitu juga halnya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah memperkenalkan agenda HEBAT sebagai sandaran kemenjadian graduan yang bakal bersaing dalam dunia kerjaya sebenar kelak. 

Bagi memastikan agenda tersebut dapat dilaksanakan, adalah menjadi hasrat universiti untuk menyediakan ruang santai yang kondusif untuk kegunaan pelajar kerana kecemerlangan seseorang pelajar bukan hanya diukur melalui akademik semata-mata bahkan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran serta sahsiah pelajar. 

Rentetan itu, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) mengambil inisiatif bekerjasama dengan organisasi luar dalam mewujudkan ruang santai untuk warga kampus khususnya pelajar PPSK sendiri.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, kerjasama antara Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA) dengan PPSK dalam mewujudkan ruang belajar secara santai yang dikenali sebagai Immersion@PPSK merupakan satu inisiatif yang sangat baik.  
“Saya mengharapkan Immersion menjadi satu simbol kita mendengar dan membuka peluang seluas-luasnya untuk memastikan kebajikan staf dan pelajar terjaga selaras dengan apa yang telah disediakan oleh Universiti sendiri, contohnya program ‘Pitch@USM’ menawarkan peluang kepada pelajar dan staf untuk mengetengahkan idea, yang mana Universiti akan memberi sehingga RM10,000 untuk idea itu dicambahkan atau dijalankan. 

“Selain itu, terdapat juga program ‘Spin Off @ Start Up’, di mana staf diberi peluang untuk membuka syarikat penerbitan dan dari PPSK sudah ada projek yang telah mendapat peluang tersebut," ujarnya.

Beliau juga mengharapkan agar Immersion@PPSK dimanfaatkan seoptima mungkin dengan pelbagai aktiviti percambahan minda selain menjadi ruang seminar serta latihan vokasional pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah seliaan Unit Transformasi OKU.

Pada masa yang sama, pusat pengajian dengan kerjasama Persatuan Siswazah PPSK, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Persatuan Kakitangan Sains Kesihatan dan COOPUSMA turut menjadikan Immersion@PPSK sebagai salah satu tempat untuk aktiviti keusahawanan pelajar bagi mengasah bakat, kemahiran dan pengalaman keusahawanan secara terlatih di samping menambah duit poket terutama pelajar daripada golongan B40.

ED461525 E76F 4199 BA20 A8A5F3A9320D

Immersion@PPSK dilengkapi dengan fasiliti asas seperti internet, ruang perbincangan, kafe yang menjual makanan dan minuman ringan serta kemudahan percetakan dan fotostat bagi kemudahan semua pihak.

Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Pengerusi COOPUSMA, Profesor Madya Dr. Hj. Mohamed Saat Ismail.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 563

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024