ROBOCON MALAYSIA 2022 MELABUHKAN TIRAINYA HARI INI
USM PULAU PINANG, 5 Jun 2022 – ROBOCON Malaysia 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia (USM) telahpun melabuhkan tirainya hari ini dengan Pasukan Universiti Teknologi Malaysia B (UTM B) sah dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan ‘kembar’ mereka iaitu Pasukan UTM A.
Dengan bertemakan Lagori: Tuju Tin bersama tagline “Merempuh Cabaran, Membina Impian”, pertandingan ini yang bermula sejak 2 Jun, merupakan hasil kerjasama di antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) KPT dengan USM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Tujuan utama ROBOCON Malaysia diwujudkan adalah untuk memperkasakan budaya inovasi dan teknologi robotik di samping memberi ruang kepada mahasiswa untuk mempamerkan kemahiran, inovasi dan kreativiti dalam penciptaan robot.
Pertandingan ini juga mampu melestarikan ekosistem pendidikan tinggi dan membangunkan bakat mahasiswa bagi memenuhi aspirasi negara selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 – Pendidikan Tinggi (PPPM-PT).
Juara ROBOCON Malaysia 2019, The Apex Team dari USM biarpun beraksi dengan cukup cemerlang di peringkat kumpulan, terpaksa akur untuk berada di tempat ketiga keseluruhan selepas ditewaskan dalam pusingan separuh akhir oleh UTM B sebelum menewaskan MMU Cybertron dalam penentuan tempat ketiga.
Biarpun hanya mampu meraih tempat ketiga, The Apex Team tetap mengharumkan nama USM dengan memenangi Anugerah Khas Kejuruteraan Terbaik, yang diberikan kepada pasukan yang mempamerkan cara pembikinan robot berteraskan prinsip kejuruteraan terbaik.
ROBOCON Malaysia 2022 telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melalui ucapan yang dirakamkan, kerana beliau tidak dapat menghadiri majlis tersebut secara bersemuka.
“Alhamdulillah, pada hari ini, selepas fasa beradaptasi dengan norma baharu dunia pasca COVID-19, lebih-lebih lagi dalam aspek penganjuran acara, Kompleks Sukan Azman Hashim menjadi saksi, bahawa berkat iltizam dan usaha keras penganjur, akhirnya pertandingan ROBOCON Malaysia 2022 dapat dilaksanakan dengan jayanya.”
“Harapan saya, semoga pasukan Malaysia sekali lagi dapat mengulangi kejayaan di pentas ABU ROBOCON antarabangsa. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada pasukan yang berjaya mewakili Malaysia nanti,” antara isi ucapan beliau.
Di samping itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan di dalam ucapannya berkata, pertandingan ROBOCON peringkat kebangsaan 2022 ini sangat signifikan kepada USM dalam membudayakan pengajian kejuruteraan robotik dan teknologi tinggi bagi menimbulkan minat mendalam dalam bidang ini dalam kalangan pelajar.
“Era masa kini dan masa hadapan bergantung kepada penguasaan teknologi dalam kalangan anak-anak muda kita. Berbagai-bagai usaha kita lakukan untuk memperkasakan anak-anak muda kita untuk membolehkan mereka memahami keperluan industri dan teknologi yang diperlukan oleh industri pada masa hadapan.”
Tambah beliau, pertandingan ini juga mendedahkan para pelajar kepada dunia antarabangsa dan memperkasakan bakat mereka untuk bersaing di peringkat global, di samping menghasilkan siswazah yang mampu berdaya saing dan melaksanakan yang terbaik untuk negara.
Sebanyak 24 buah pasukan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) telah bertanding merangkumi 11 universiti awam, 8 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan 1 politeknik bagi merebut gelaran johan, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, trofi, medal dan sijil pemenang.
ROBOCON atau Pertandingan Robot Contest merupakan pertandingan robotik pada peringkat Asia Pasifik anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) dan diasaskan di Malaysia pada tahun 2002. Penganjuran pada tahun ini merupakan edisi yang ke-21.
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 593