USM PELOPOR PROGRAM PENSIJILAN KEMAHIRAN MALAYSIA BAGI BIDANG PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN PEMBERSIHAN AWAM DI MALAYSIA
NIBONG TEBAL, 5 Jun 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) kini merupakan pelopor kepada Program Pensijilan Kemahiran Malaysia bagi bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam, yang pertama seumpamanya dalam kalangan universiti di Malaysia.
Melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) dan dipilih oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), program ini menawarkan pelajar kejuruteraan USM dengan Sijil Kemahiran Malaysia Penyeliaan Operasi Pengumpulan Sisa Pepejal Tahap 3 secara dual certificate.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, kursus ini adalah usaha bersama semua pihak yang terlibat dalam meningkatkan kemahiran dan kelestarian tenaga kerja mahir dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia.
Apatah lagi menurut beliau, sememangnya menjadi tugas universiti untuk menggalas tanggungjawab bersama memacu masa depan industri khususnya dalam pengurusan sistem pepejal dan pembersihan negara.
Tambahan pula, ianya adalah untuk memastikan sisa-sisa yang terkumpul dapat dikawal selia dengan baik dan dikitar semula bagi mengurangkan impak pencemaran yang semakin serius memandangkan pengurusan sisa pepejal adalah tunjang utama kepada perkara ini.
Faisal Rafiq turut menggesa agar setiap pelajar memaksimumkan peluang yang telah disediakan melalui program ini dalam mempersiapkan diri masing-masing untuk berdepan dengan dunia pekerjaan yang sebenar kelak.
Bagi Dekan PPKA, Profesor Dr. Mohd Suffian Yusoff pula, selain daripada mempelajari the fundamentals of sciences dan subjek kejuruteraan semasa pembelajaran bagi keperluan Ijazah Sarjana Muda masing-masing, sijil kemahiran ini juga akan menjadi satu nilai tambah kepada para pelajar.
Malah, Suffian turut menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada SWCorp dan JPK yang telah memberi kesempatan kepada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM untuk ditauliahkan sebagai Solid Waste Training Centre (Northern Region) negara melalui program ini.
Turut hadir dalam majlis ini yang berlangsung pada 23 Mei 2022 adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Ketua Pegawai SWCorp, Tuan Haji Ismail Mokhtar dan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Teknologi SWCorp, Ir. Ts. Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 564