USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KITA SEMUA TIDAK SEMPURNA DAN ITU TIDAK MENGAPA!

IMG 9346

USM PULAU PINANG, 30 Mei 2022 – Setiap dugaan serta cabaran pasti disusuli dengan kemanisan di penghujung perjalanan, begitu juga dengan kisah dua insan istimewa yang mengalami kesukaran sewaktu tempoh pembelajaran, tetapi akhirnya disudahi dengan kemanisan kejayaan.

Graduan Sarjana Muda Sastera, Mahavithia Arumugam dan Harmel Kaur Gill merupakan antara insan istimewa yang berjaya menggenggam ijazah pada sidang kesebelas Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Melalui temubual yang dijalankan, Mahavithia berkata, kecacatan penglihatan beliau telah dialami sejak kecil lagi, yang mana beliau telah dihantar ke sekolah aliran khas untuk meneruskan sesi pembelajaran, serta banyak cabaran yang dihadapinya untuk sampai ke tahap ini.

“Kesukaran utama ketika proses pembelajaran saya adalah pergerakan saya untuk menghadiri kuliah, namun begitu saya sangat bersyukur kerana ramai kawan-kawan yang sedia membantu membawa saya ke kelas setiap hari tanpa mengeluh walau sedikit pun.”

“Semestinya saya merasa seronok dengan kejayaan yang dikecapi ini namun begitu, fokus utama saya dari dahulu sehingga kini adalah untuk menggembirakan kak sepupu saya yang telah menjaga saya sejak kecil lagi,” tambahnya.

IMG 9352l

 

Turut ditemubual, Harmel Kaur graduan yang menghidap monoplegik cerebral palsy sejak lahir, yang mana telah menjejaskan satu anggota beliau, iaitu kaki kirinya.

“Pada tahun 2017, saya telah menjalani beberapa pembedahan di bahagian kaki, malangnya saya hampir tidak mampu berjalan serta memerlukan bantuan orang lain untuk berjalan.”

“Proses pemulihan yang memakan masa hampir setahun menyebabkan saya berasa kecewa kerana tidak dapat pulang ke kampus. Sesudah kembali ke kampus, saya masih mengalami kesukaran untuk berjalan di sekitar kampus, walaupun dengan bantuan tongkat saya.”

IMG 9328h

“Setelah berbincang dengan Dekan Pusat Pengajian (Ilmu Kemanusiaan) dan penasihat akademik saya mengenai masalah tersebut, akhirnya mereka menempatkan semula kelas untuk saya di lokasi yang lebih memudahkan pergerakan saya.”

Kedua-dua mereka turut berpendapat bahawa kesukaran atau kecacatan yang dialami ini bukanlah titik noktah atau ‘tembok’ yang menghalang mereka untuk terus berkembang, tetapi ia merupakan sebuah hadiah istimewa yang mampu mematangkan serta mempersiapkan diri mereka dengan cabaran yang akan datang.

IMG 9338

 

Selain itu, mereka turut menyeru semua pelajar yang mengalami nasib seperti mereka untuk bangun dan percayalah bahawa mereka mampu melakukan apa yang dilakukan oleh orang lain, serta mampu melakukan dengan cara yang jauh lebih baik jika mereka terus percaya pada diri sendiri.

Akhir kata, kekurangan yang dimiliki ini pasti memberikan cabaran yang hebat dalam menguatkan mental, namun begitu keazaman yang tinggi pasti mampu menampung setiap kekurangan yang dimiliki itu.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 574

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024