USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IFTAR IPPT: NAIB CANSELOR RAI GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK

usmiftar

 

BERTAM, 29 Julai 2013 – Bersempena dengan Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jawatankuasa Ihya Ramadhan IPPT telah menganjurkan Majlis Iftar Perdana semalam bertempat di perkarangan Kompleks Klinikal IPPT, USM Kampus Bertam.

Majlis yang diadakan ini merupakan program tahunan IPPT bagi merapatkan hubungan silaturahim dan juga mengaktifkan lagi interaksi hubungan kerja antara warga IPPT dengan pucuk pimpinan USM serta keluarga staf. Selain itu, ia juga bagi meraikan dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Seramai 20 anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin di sekitar Bertam diraikan pada jamuan berbuka puasa tersebut dan mereka turut menerima sumbangan Aidilfitri daripada pihak IPPT yang disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau menyarankan agar kita sebagai seorang hamba Allah S.W.T yang mencari dan memperoleh rezeki, perlu berkongsi kesenangan tersebut dengan memperbanyakkan sedekah dan amal jariah, tidak hanya di bulan Ramadhan sahaja.

“Semua orang mempunyai bahagian rezeki masing-masing. Rezeki setiap kita sudah ditentukan Allah S.W.T, namun yang membezakan kita adalah kegigihan dan kesungguhan dalam mencari rezeki. Rezeki yang sedikit jika dikongsi juga akan menambahkan nikmatnya dan insya Allah akan ditambah berlipat kali ganda,” tambah beliau.

Naib Canselor turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Jawatankuasa Ihya Ramadhan IPPT kerana telah mengambil inisiatif mengumpul dana dan mencari sumbangan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Tambah beliau lagi sumbangan ini menzahirkan rasa keprihatinan warga universiti terhadap kesusahan, cabaran dan penderitaan ahli masyarakat dalam menjalani liku-liku kehidupan. Semoga dengan sumbangan ini akan dapat meringankan beban dan menceriakan suasana bagi meneruskan ibadah puasa dan seterusnya menyambut hari raya.

Naib Canselor juga menyeru warga IPPT supaya teruskanlah berbakti kepada masyarakat dengan menyumbang segala kepakaran yang ada dan memandangkan IPPT ini menawarkan perkhidmatan kesihatan maka berikanlah khidmat dan rawatan yang terbaik kepada semua ahli masyarakat.

“Semoga dengan cara ini masyarakat setempat akan lebih mengenali kita dan yang paling penting masyarakat terkesan dengan kehadiran IPPT di bumi Bertam ini,” tambah beliau.   

Pada majlis yang sama, pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (MANTAB), Kampung Masjid, Tikam Batu turut diraikan. Mereka juga tidak ketinggalan memperdengarkan alunan bacaan ayat suci Al-Quran serta persembahan Qasidah.

Naib Canselor juga turut menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz atas tragedi kebakaran asrama yang meragut nyawa seorang pelajarnya bulan lalu.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengarah IPPT, Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Timbalan-timbalan Pengarah IPPT serta ketua-ketua Kluster. Hampir 200 tetamu yang terdiri daripada staf dan keluarga juga hadir bagi memeriahkan majlis ini. - Teks dan Foto: Mohd Faisal Jamaludin

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1098

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024