GSB-CEED RAIKAN 109 GRADUAN PROGRAM PROFESIONAL DALAM BIDANG PENGURUSAN
USM PULAU PINANG, 4 Jun 2022 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Centre for Executive Education and Development (CEED) telah menganjurkan majlis graduasi penganugerahan Diploma Profesional dalam Pengurusan kepada pelajar yang baharu sahaja menamatkan pengajian mereka, di sini pagi ini.
Mereka terdiri daripada 109 graduan dari golongan bekerja yang menjalani program pengajian secara sambilan dengan pengkhususan dalam Pengurusan Perniagaan, Perniagaan Digital, Pengurusan Modal Insan, Logistik dan Pengurusan Rantai Bekalan.
Para graduan mengambil masa hampir satu tahun untuk menamatkan program pengajian masing-masing yang ditawarkan oleh CEED, GSB dan dikendalikan oleh enam pusat pembelajaran di seluruh negara.
Pengarah Broadcom Global Distribution, Dr. Sazani Shafie yang juga merupakan Panel Penasihat Industri GSB USM dalam ucapannya berkata, salah satu aspirasi USM adalah untuk memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat dan GSB USM telah mengambil inisiatif untuk membentuk program-program profesional di tahap Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana yang ditawarkan kepada mereka yang ingin menyahut cabaran bagi memajukan diri dan memperkasakan minda dengan ilmu yang pelbagai serta dapat diguna pakai dalam pasaran kerja.
“Saya ingin mengingatkan anda, perjalanan dalam penguasaan ilmu baru bermula; masih jauh jalan yang perlu ditempuh dan masih banyak rintangan yang perlu dilalui. Tetapi, yakinlah, sekiranya anda mempunyai semangat untuk terus belajar, semua musibah yang akan ditempuh adalah sebahagian dari onak dan duri cabaran pengajian,” katanya yang turut mempengerusikan majlis graduasi tersebut mewakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat.
Pengurus CEED, Dr. Karpal Singh berkata, program profesional ini direka bentuk untuk memberi peluang kedua kepada lepasan sekolah dan golongan bekerja agar dapat terus melanjutkan pelajaran, kerana keadaan mencabar yang mungkin tidak mengizinkan mereka berbuat demikian semasa mereka masih muda.
Katanya, program ini dibangunkan dengan mengambil kira perkembangan semasa dan perubahan realiti dunia perniagaan, dan menyumbang kepada keperluan sektor korporat untuk pekerja pengurusan yang berkebolehan dengan kemahiran profesional dan pengetahuan asas dalam pelbagai fungsi pengurusan.
Sementara itu, Dekan GSB, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, program profesional ini bukan sahaja ditawarkan untuk memenuhi kehendak pasaran tetapi merupakan sebahagian tanggungjawab USM dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Keempat, iaitu memastikan keterangkuman dan peluang kepada pendidikan yang berkualiti.
Turut hadir di majlis adalah Panel Penasihat Industri GSB USM, Dr. Mirza Manirajah; Ketua Penolong Pendaftar GSB USM, Nur Mariyam Musa; Pengarah Protégé Training & Education Sdn. Bhd., Dr. Jason Chan; Pengarah, Skytrex Solutions Sdn. Bhd.; Pengarah Training Minds Sdn. Bhd., Pengarah Elite Paradigm Academy Sdn. Bhd., Nicoe Leoi bersama Thohirah Alias; dan Pengarah Riverbank Academy, Mahendran.
CEED GSB merupakan unit khusus yang ditubuh untuk membangunkan dan memasarkan pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional berterusan, dan telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) untuk memberi laluan kepada graduan dari program Diploma Pengurusan Profesional ini untuk menyambung pelajaran mereka ke Sarjana Muda Pengurusan melalui mod pengajian separuh masa seiring dengan model ODL.
Baru-baru ini GSB telah membuat penjenamaan semula program profesionalnya yang kini dikenali sebagai Kelayakan Siswazah Profesional Tahap 4 (Professional Graduate Qualification Level 4) dan Kelayakan Siswazah Profesional Tahap 7 (Professional Graduate Qualification Level 7).
Kelayakan Siswazah Profesional Tahap 4 merupakan hasil kerjasama dengan UNIRAZAK, yang mana pelajar akan dianugerahkan dwi ijazah bersama Profesional Diploma Pengurusan dari UNIRAZAK, dengan tujuan mengukuhkan dan menambah nilai kepada program sedia ada demi memperkasakan agenda pembelajaran sepanjang hayat.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 806