PTPTN DIDIK PELAJAR USM PENGURUSAN KEWANGAN BERHEMAH
USM, PENANG, 26 Jun 2022 - Pengurusan kewangan yang berhemah amat penting masa kini kerana ia melibatkan perancangan terperinci dalam membuat persediaan yang terbaik bagi pelajar yang bakal menjejak ke alam pekerjaan.
Demikian ujar Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Dr. Azlinda Azman yang menyifatkan kerjasama dan kolaborasi yang dijalankan ini merupakan satu langkah yang baik kepada pelajar agar
kesedaran awal timbul dan mereka tidak tersalah langkah dalam bidang kewangan.
“Melalui program ini, graduan yang terhasil dapat memenuhi keperluan pasaran, kompeten serta kemahiran mereka ditingkatkan ke tahap yang lebih baik,” jelasnya ketika Majlis Perasmian Penutup Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya Pelajar IPTA tahun 2022 di Dewan Pembangunan Siswa, Universiti Sains Malaysia.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid pula menekankan kepentingan setiap pelajar dalam pengurusan kewangan masa kini yang amat penting dan pemerkasaan penabungan perlu diberi penekanan yang jelas.
“Dalam program selama 2 hari ini, saya berharap pelajar semua dapat memahami program FLICK ini agar daya saing dan kemahiran dapat dipertingkatkan justeru kebolehpasaran graduan itu akan lebih terjamin kelak”, katanya.
Sejak penubuhannya pada tahun 1997, PTPTN telah memberi 3.66 juta pelajar
pinjaman ketika pengajian yang melibatkan peruntukan sebanyak 66.73 bilion.
Bagi Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini bin Omar pula, inisiatif ini amat baik bagi keluarga daripada pelbagai agensi pengajian tinggi negara dalam pemerkasaan kebolehpasaran graduan untuk lebih kompetitif di alam pekerjaan kelak.
“Program ini juga merupakan satu pendedahan kepada pelajar tentang ilmu pengurusan kewangan dan peluang-peluang pekerjaan serta menyuntik motivasi buat pelajar tahun akhir yang bakal bergraduan,” katanya ketika merasmikan penutup program ini.
“Mengurus kewangan bukan sesuatu yang senang, belajar untuk menguruskan kewangan dengan baik. Besar harapan saya untuk pelajar dapat memantapkan diri agar peluang kerjaya lebih cerah selepas alam universiti,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, masa kini, golongan muda banyak terjerumus dengan hutang yang tinggi dan menyebabkan mereka muflis. Justeru, kepentingan pengurusan kewangan dan penabungan serta ilmu yang dikongsi melalui program sebegini amat penting agar golongan ini tidak terjebak dalam pengurusan kewangan yang salah.
Husaini turut menyampaikan sijil penyertaan dan hadiah kepada pemenang latihan dalam kumpulan kepada peserta yang menghadiri program ini.
Seramai 60 orang pelajar USM terpilih terlibat dalam program selama 2 hari yang dianjurkan oleh PTPTN ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Puan Mastura binti Mohd Khalid; Pengurus Besar Kanan PTPTN, Encik Mohd Rusdi bin Ismail; dan Pengurus Besar Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Encik Muhammad Muhsin bin Abdul Rahman.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 538