USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JADIKAN PENSYARAH SEBAGAI IDOLA, KAVITHA GRADUAN CEMERLANG SAINS SENAMAN DAN SUKAN KONVOKESYEN KE-59 USM

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mei 2022 – Menjadi jurulatih kecergasan dan korporat terkenal di dunia serta menjadikan diri beliau sebagai inspirasi segenap lapisan masyarakat merupakan cita-cita besar Kavitha A/P Sivapragasam
9DDDF114 6384 46AC A5F3 53CA52B61CBA

Bermula hanya dengan seronok melakukan senaman, ianya bertukar kepada perasaan takjub dalam memahami kebolehan fizikal manusia melakukan gerakan, dan itu menjadi titik tolak beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sains Senaman dan Sukan, di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM). 

"Pada peringkat awal memilih bidang pengajian ini, saya menerima pelbagai kata-kata yang mengguris perasaan daripada orang sekeliling mungkin kerana pada masa itu, bidang pengajian sains senaman dan sukan ini belum begitu dikenali sebagaimana program-program pengajian lain yang telah lama bertapak di universiti awam mahupun swasta.

"Tapi ianya tidak langsung memudarkan semangat saya, malahan saya menjadikan itu semua sebagai cabaran untuk saya buktikan bidang ini juga mampu menjadikan saya seorang individu yang terkenal sebagaimana profesion lain," ujarnya.

Ternyata pengorbanan Kavitha meninggalkan keluarga dan pasangan kembarnya di Negeri Sembilan untuk berhijrah seketika ke Kampus Kesihatan tidak sia-sia apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan peperiksaan kumulatif yang cemerlang iaitu 3.82 dan berjaya menerima Anugerah Dekan secara berturut-turut sepanjang tempoh pengajian. 

Sesuai dengan pembawaan beliau sebagai pelajar dalam jurusan kesukanan, Kavitha merupakan atlet yang mewakili USM dalam Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) serta pernah memenangi lebih daripada 10 'podium finish' acara larian maraton terbuka USM.  

Menurutnya, berada dalam kalangan pelajar dan pensyarah Sains Sukan, adalah kenangan yang cukup manis dan tak mungkin beliau lupakan. 

"Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara dan inilah keunikan keluarga Sains Sukan, PPSK.

"Keluarga, pensyarah dan rakan-rakan menjadi saksi pahit getir saya sepanjang bergelar pelajar dan segala penat lelah saya selama ini terbayar, dan lebih bermakna lagi saya dapat menghadiahkan kepada ibu bapa saya anugerah yang sama sekali saya tidak menyangka untuk menerimanya," jelasnya lagi.

BE139E39 5E0C 4154 A516 53CE6337A67C

Sempena Upacara Konvokesyen ke-59 USM, Kavitha dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Pingat Emas USM Pelajar Wanita Tahun Akhir Terbaik dan Anugerah Pingat Emas USM Pelajar Tahun Akhir Terbaik, Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan (Kepujian). 

Mendedikasikan kejayaan yang diraih kepada tiga (3) pensyarah yang menjadi tunjang dan nadi sepanjang pengajian, Kavitha mengakui ketiga-tiga mereka sentiasa menjadi sumber inspirasi dan pembimbing hebat yang sentiasa memastikan beliau berada pada landasan yang betul. 

Dalam pada itu, Kavitha turut menitipkan pesanan kepada rakan-rakan seperjuangan agar mencari dan melakukan apa yang mereka suka lakukan sehingga ia menjadi rutin dan bukannya keterpaksaan. 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 376

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024