USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NUR AZLINA BUKTIKAN AKTIF PELBAGAI BIDANG BUKAN HALANGAN CAPAI KECEMERLANGAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mei 2022 – "Kehidupan di universiti memberi peluang kepada saya untuk mendewasakan diri dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan seterusnya menzahirkan agenda HEBAT yang diperkenalkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM)", demikian petikan kata-kata Pemenang Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, Nur Azlina Adris semasa menyampaikan ucapan beliau di majlis Penganugerahan Pingat Emas Utama USM di Kampus Induk. 

D6418F88 0C51 4B8F 98ED 6612B2918838

Azlina yang turut menerima Pingat Emas USM pelajar tahun akhir terbaik bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) (Sains Forensik) merupakan seorang pelajar yang sangat aktif sepanjang bergelar mahasiswi di Kampus Kesihatan USM. 

Bermula dengan menjadi ahli jawatankuasa program, beliau mendekatkan diri dalam bidang kesukarelawanan dan kepimpinan. 

"Dari situ, saya belajar cara-cara berorganisasi dan mengaplikasi pengalaman yang ada untuk saya membentuk diri menjadi seorang pemimpin.

"Berkat tunjuk ajar pelbagai pihak, saya berpeluang merasai pelbagai jawatan dalam setiap aktiviti yang diadakan dan secara tidak langsung ia menjadikan saya seorang individu yang lebih berkeyakinan," ujarnya.

Anak kedua daripada enam (6) orang adik-beradik berasal dari Melaka ini ternyata seorang gadis manis yang tidak mudah mengalah dengan cabaran.  

Beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Kampus bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Kampus Kesihatan selama dua sidang akademik berturut-turut. 

"Semasa saya memegang jawatan tersebut pada tahun 2020, wabak COVID-19 menular sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara dan pada masa itu saya mengambil keputusan untuk terus berada di kampus bagi membantu pihak Pengurusan Kampus menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar. 

"Dalam tempoh itu juga, banyak perkara baharu yang saya pelajari termasuk menyediakan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan Hospital USM, menguruskan bantuan yang disalurkan kepada pelajar, menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan pelajar serta turut berpeluang menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di kampus bersama kawan-kawan yang lain," jelasnya mengimbau kenangan yang cukup manis dalam hidup seorang pelajar. 

Menamatkan pengajian dalam bidang Sains Forensik dengan memperolehi Ijazah Kelas Pertama, Azlina menganggap anugerah yang diterima sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan mahasiswa khususnya MPP. 

"Saya berharap anugerah ini akan menjadi dorongan kepada barisan MPP untuk terus memainkan peranan bukan sahaja dalam hal kebajikan tetapi membentuk satu jenama kepimpinan yang berkesan dan menggambarkan kehebatan pelajar USM sebagai pemimpin masa hadapan," katanya lagi.

Sebagai seorang pelajar yang sentiasa sibuk dengan aktiviti kepimpinan, kesukarelawan dan kebudayaan, beliau tetap tidak lupa akan tujuan sebenar beliau merantau dari negeri Hang Tuah hingga ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini adalah untuk menimba ilmu sehingga berjaya bergraduasi dengan CGPA 3.75. 

AD85EE96 BD03 4048 8B20 7F3E2A9B5A20

Azlina turut berpesan kepada rakan-rakan serta adik-adik yang sedang berjuang di medan ilmu tercinta ini, tidak kira apa bidang pengajian sekalipun, masing-masing ada dugaan tersendiri.

"Kita perlu pandai mengimbangi antara cita-cita dan minat. 

"Kejayaan dalam akademik perlu seiring dengan ketrampilan diri agar dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan USM di lapangan kerjaya kelak," ujar beliau.

Azlina turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak khususnya di Kampus Kesihatan yang telah menjadi sebahagian daripada warna warni kehidupan beliau selama empat (4) tahun bergelar pelajar USM. 

Penganugerahan tersebut diadakan di kampus induk USM selepas tamatnya Sidang Kelapan Upacara Konvokesyen ke-59 USM dan telah disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur. 

Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Azlinda Azman serta pengurusan tertinggi USM. 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Nur Azlina Adris

  • Created on .
  • Hits: 371

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024