KEKURANGAN YANG DIALAMI TIDAK MENJADI PENGHALANG MENGGENGGAM SEGULUNG IJAZAH
USM PULAU PINANG, 26 Mei 2022 – Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung baru-baru ini menjadi saksi kepada pelbagai kisah suka dan duka yang dapat dijadikan sebagai teladan kita bersama.
Muhammad Razin Salim, penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, merupakan seorang insan istimewa serta hebat di dalam pembelajarannya biarpun bergelar orang kurang upaya (OKU).
Anak kelahiran Nibong Tebal, Pulau Pinang ini tidak pernah berputus asa serta telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil demi menggenggam segulung ijazah jika kita percaya pada diri sendiri.
“Pada mulanya, kejuruteraan bukanlah pilihan utama saya namun di atas faktor fizikal saya yang tidak mengizinkan ini, saya telah memilih kursus kejuruteraan yang lebih dekat dengan tempat saya tinggal.”
Razin turut menambah, biarpun permulaannya agak tidak menarik bagi beliau, namun dari masa ke semasa, keseronokan itu tiba kerana minatnya terhadap mata pelajaran matematik.
Namun begitu, tahun 2020 menjadi titik kesukaran buat dirinya kerana insan tersayang telah meninggal dunia, tetapi Razin terus cekal dan meneruskan pengajiannya biarpun berada di dalam keadaan yang agak sukar.
“Saya berasa sedikit terkilan kerana sewaktu saya cuba mencari pekerjaan, banyak yang menolak kerana kekurangan yang dialami ini, namun begitu sasaran saya buat ketika ini adalah untuk menyambung pembelajaran peringkat ijazah sarjana di USM,” tambah beliau.
Turut ditemu bual, ibu kepada Razin yang turut berkongsi serba sedikit tentang cabaran serta kecekalannya anaknya menghadapi kesemua itu ketika hadir meraikan kejayaan yang dicapai olehnya itu.
“Razin merupakan seorang anak yang bertanggungjawab dan sering berusaha keras dalam mencapai kejayaan biarpun pelbagai dugaan yang datang daripada kecil sehingga ke hari ini, beliau sering memberikan yang terbaik.”
Kekurangan yang dialaminya bukanlah menjadi tembok yang menghalangnya mencapai kejayaan, tetapi ia digunakan untuk terus maju dan mengecapi kejayaan demi kejayaan.
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 455