USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAMAT PENGAJIAN, SARJANA SAINS KEJURUTERAAN KESELAMATAN KEBAKARAN USM LAHIR 7 GRADUAN SULUNG

IMG 20220521 WA0034

USM PULAU PINANG, 25 Mei 2022 – Seramai tujuh orang graduan Kampus Kejuruteraan menempa nama tersendiri apabila berjaya menamatkan pengajian dan seterusnya menjadi graduan sulung Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran Universiti Sains Malaysia (USM) sempena upacara Konvokesyen ke-59 USM baru-baru ini.

Lebih membanggakan lagi apabila Aaron Saw Seng Tatt (40), Mohd Hafeez Azwan Mohd Azmi (36), Muhamad Fakhrul Reza Faizul (29), Muhammad Ali Hydar Othman (30) dan Nik Mohd Hafizullah Nik Zulkifli (33), berjaya mengenggam Ijazah Sarjana masing-masing sambil bekerja sepanjang tempoh pengajian mereka.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang hadir meraikan kelima-lima graduan di dalam satu majlis ringkas selepas sidang dua Konvokesyen ke-59 mengakui bahawa bekerja sambil belajar ini adalah satu proses yang penuh dengan cabaran.

IMG 20220521 WA0037

“Apatah lagi mereka ini bekerja sepenuh masa di syarikat masing-masing dengan tanggungjawab yang perlu digalas sambil memberikan khidmat profesional kepada sesiapa sahaja yang memerlukan di luar sana,” kata beliau.

“Namun, saya percaya setiap cabaran yang mereka perlu hadapi sepanjang setahun bergelar pelajar ini pastinya berbaloi sebaik sahaja nama masing-masing diumumkan untuk menerima Ijazah Sarjana di atas pentas sebentar tadi.

“Sepanjang setahun pengajian, mereka bukan sahaja mengejar segulung ijazah tetapi juga mengejar peluang untuk menimba ilmu dari tenaga pengajar yang profesional bersama-sama kebolehan mengatur masa yang lebih cekap dan yang paling penting, pengalaman meluaskan rangkaian serta mengasah kemahiran masing-masing,” tambah Azazi.

Bagi Pengurus Bahagian Korporat yang juga salah seorang pensyarah kursus dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Dr. Mustafasanie M Yussof berkata, program ini merupakan satu-satunya program di dalam Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

IMG 20220521 WA0036

“Walaupun terdapat beberapa program berkaitan kebakaran dan kejuruteraan di universiti-universiti lain seluruh negara, hanya Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran yang ditawarkan di USM sahaja yang diperakui kepakarannya, contohnya dari segi laporan serta konsultansi,” kata beliau.

“Malah, program ini merupakan fokus utama JBPM dalam melahirkan pegawai-pegawai serta pakar Keselamatan Kebakaran memandangkan mereka juga sedang dalam perancangan untuk melaksanakan akta yang akan mewajibkan seorang Pegawai Keselamatan Kebakaran bagi setiap premis kelak,” tambah Mustafasanie. 

Melalui upacara Konvokesyen ke-59 yang bermula 21 Mei hingga 31 Mei ini, sejumlah 6,706 graduan akan atau telah menerima ijazah masing-masing dan ini termasuk dua Ijazah Kehormat, lima Profesor Emeritus/Profesor Emerita, 2,231 Ijazah Tinggi Doktor Falsafah dan Sarjana, 4,475 Ijazah Sarjana Muda dan 50 Diploma Kejururawatan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 450

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024