USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GRADUAN USM TUMPANG MOTOSIKAL, TERUJA BERJAYA HADIR UPACARA KONVOKESYEN

IMG 5980

USM PULAU PINANG, 24 Mei 2022 – “Saya memang sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi, namun saya bersama kedua-dua ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.

“Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” demikian jelas graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang gambarnya tular di media sosial dalam satu kejadian di sini pagi ini.

Kevin a/l Rayappan, 28, dalam gambarnya dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.

Beliau bagaimanapun teruja dan bersyukur kerana ada insan yang sudi menumpangkan beliau sehingga ke USM, selain berjaya tiba dengan selamatnya untuk meraikan kejayaan bergraduasi dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama rakan-rakan.

Mengulas kembali detik cemas itu, Kevin berkata, beliau bersama kedua-dua ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pada jam 6.30 pagi namun tidak menyangka kesesakan teruk ekoran kemalangan maut yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

“Mula-mula saya harapkan kesesakan tidak berpanjangan tetapi setelah melepasi jam 9.00 pagi kenderaan masih tidak bergerak, saya nekad turun dan mencari alternatif kerana impian saya cuma ingin naik ke pentas terima skrol hari ini,” ujarnya.

IMG 5966

Bagaimanapun beliau amat terharu kerana masih ada insan yang baik hati sudi membantu.

“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau.

“Tanpa bantuan beliau, saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” ujar Kevin yang turut gembira kerana kedua-dua ibu bapanya iaitu Rayappan, 62 dan Mary, 48 yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikan beliau menerima ijazah.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM memahami kesulitan yang dialami para graduan yang berijazah pada sidang kelima hari ini dan menangguhkan upacara selama 30 minit.

Upacara Konvokesyen yang sepatutnya bermula pada jam 10.00 pagi ditangguhkan sehingga ke 10.30 bagi memberi laluan kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan akibat dari kemalangan itu.

Upacara pada sidang kelima itu dipengerusikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan menyaksikan seramai 529 graduan menerima ijazah sarjana mereka dalam pelbagai bidang pengajian.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 411

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024