USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

6 PENERIMA IJAZAH KEHORMAT/PROF EMERITUS/PROF EMERITA BAKAL DIRAI DI SIDANG KEDUA MAJLIS KONVOKESYEN KE-59

USM PULAU PINANG, 20 Mei 2022 – Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) bakal berlangsung pada 21 Mei hingga 31 Mei 2022 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 6,706 graduan bakal menerima ijazah dalam bidang masing-masing.

Sidang kedua Majlis Konvokesyen yang akan bermula pada 21 Mei 2022 ini akan menyaksikan seramai 468 orang graduan menerima skrol ijazah tinggi [Doktor Falsafah (PhD) dan Ijazah Sarjana] dan bakal meraikan seorang penerima Ijazah Kehormat, tiga orang Profesor Emeritus bersama dua orang Profesor Emerita.

D456CFD7 AA68 44CA B2AF 2D14FF59BD4D

Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan akan dianugerahkan kepada Dato’ Dr. Mahmood Osman Merican manakala Profesor Emerita kepada Dr. Nor Hayati Othman dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Dato’ Dr. Rashidah Shuib, dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

USM juga akan menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Dr. Zaharin Yusoff, Dekan Pengasas Pusat Pengajian Sains Komputer; Dato’ Dr. Morshidi Sirat, dari Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) dan Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin dari Pusat Pengajian Sains Fizik yang kini merupakan Naib Canselor/Presiden Al-Bukhary University, Alor Setar Kedah.

Bakal diraikan dalam sidang yang sama ialah pemenang Anugerah Pingat Emas Canselor bagi pelajar tahun akhir terbaik keseluruhan, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Na Yong Sik.

Pada sidang kedua juga, terdapat empat program ijazah sarjana yang mempunyai graduan sulung – dua dari Pusat Pengajian Pengurusan iaitu Sarjana Analitik Perniagaan dan Sarjana Pengurusan (Kewangan Islam Global); satu dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan Dwi Ijazah GSB-Glasgow dan satu lagi Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

Sidang kedua akan dipengerusikan oleh Pro-Canselor Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan dijangka turut hadir ke sidang tersebut adalah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin bersama Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 861

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024