USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAPANYA MENINGGAL COVID-19 KETIKA DIA HADAPI KERTAS PEPERIKSAAN AKHIR

D681528E 1551 494A 907D 23B52E06E6C4

USM PULAU PINANG, 20 Mei 2022 – Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor untuk Konvokesyen Ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan berlangsung Sidang Kedua mulai esok berkongsi kisah sedih yang dilaluinya dalam Sidang Media khas yang dipengerusikan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini.

"Ayah meninggal dunia pada 12 Julai 2021 jam 3.00 pagi kerana komplikasi COVID-19, saya dapat tahu jam 5.00 pagi dan petang itu akan menghadapi kertas akhir peperiksaan semester akhir.

"Teringatkan pesanan ayah untuk melihat kejayaan ini, saya teruskan menghadapi peperiksaan dan bertolak balik ke Kelang sebaik sahaja selesai peperiksaan," cerita Na Yong Sik, 23 tahun, siswazah Kejuruteraan Kimia.

41EA9957 EC34 4BEE B3C2 3DCCC05A8DCC

Na Yong Sik, seorang pemimpin pelajar yang aktif semasa pengajiannya mendapat gred A kertas tersebut.

Jelasnya, jika kita telah bersedia untuk peperiksaan, kita akan boleh menjawab dengan mudah walaupun apa yang berlaku.

"Saya mengambil sikap belajar memahami pelajaran yang diikuti dengan sepenuh hati, bukan hanya menghafal," tegas Yong Sik.

Yong Sik anak ketiga dari lima beradik sekarang bekerja di syarikat Micron Singapura sebagai Jurutera Proses.

Ayahnya Na Chun Sheng, 49 tahun, seorang ahli perniagaan dan emaknya Tan Lih Tin, 49 tahun adalah seorang pengurus akaun.

Beliau percaya seseorang itu akan dapat menempuhi apa jua cabaran jika tabah menghadapi.

"Saya tahu ada rakan yang ingin bunuh diri ketika COVID-19 tetapi saya nasihatkan agar sentiasa kuat dan tabah menghadapi apa jua dugaan jika ingin berjaya dalam hidup," tegasnya lagi.

Sementara itu, penerima Hadiah Pingat Emas (Pingat Jaya Cemerlang) Majlis Raja-raja Malaysia, Syazwan Izman Shairunizam, 24 tahun, berkongsi pandangan yang sama dengan Yong Sik.

F2829F58 EF45 4044 9D58 3C9ED8EC74A5

"Kejayaan boleh dicapai jika bekerja keras dan seimbangkan dengan aktiviti luar kuliah dengan memastikan seseorang pelajar memahami pembelajarannya dan bukan hanya menghafal," kata Syazwan Izman yang bercita-cita menjadi Jurutera Elektrik.

Pada masa ini, beliau bekerja dengan Motorola Solutions sebagai Jurutera Sofwer.

Ayahnya Shairunizam Bin Mat Lazam, 48 tahun, bekerja sebagai "construction site supervisor" manakala emaknya Nor Hizah Binti Ramli, 48 tahun, seorang pegawai bank.

3DD31AEA 15BC 4493 8A32 4FA6F57238BE

Sidang Pertama Konvokesyen Ke-59 telah berlangsung di Istana Arau pada 28 Mac 2022. Dalam Sidang Pertama tersebut, USM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka T.Y.T. Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.

Naib Canselor, dalam Sidang Medianya memaklumkan Upacara Konvokesyen Ke-59 diteruskan bermula Sidang Kedua esok hingga Sidang Ke-12 pada 31 Mei 2022.

Menurut beliau, USM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan kepada Dato’ Dr. Mahmood Osman Merican dan Profesor Emerita kepada Dr. Nor Hayati Othman dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Dato’ Dr. Rashidah Shuib, dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan.

USM juga akan menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Dr. Zaharin Yusoff, dekan pengasas Pusat Pengajian Sains Komputer; Dato’ Dr. Morshidi Sirat [dari Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN)] dan Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin dari Pusat Pengajian Sains Fizik.

Dato’ Dr. Abd Aziz Tajuddin sekarang adalah Naib Canselor/Presiden Al-Bukhary University, Alor Setar, Kedah.

Sejumlah 6,706 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Kehormat (2), Profesor Emeritus/Emerita (5), Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana – 2,231) Ijazah Sarjana Muda (4,475) dan Diploma Kejururawatan (50). Keseluruhan USM telah mengeluarkan seramai 192,269 siswazah setakat ini.

"Untuk pertama kali dalam tempoh dua tahun ini, Upacara Konvokesyen USM mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia dengan membenarkan dua ahli keluarga hadir ke majlis yang berlangsung tanpa penjarakan tempat duduk," kata Naib Canselor.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 418

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024