WIRA TANPA NAMA DIRAIKAN OLEH IMCC USM
USM PULAU PINANG, 4 Mei 2022 – Ketika berlakunya penyebaran wabak COVID-19, banyak dugaan dan cabaran yang perlu dilalui oleh setiap insan, namun mereka ini tidak pernah jemu dan mengeluh dalam menjaga serta memastikan Universiti Sains Malaysia (USM) berada di dalam keadaan yang bersih dan baik sehingga ke hari ini.
Oleh itu, Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC) USM telah menganjur majlis sesi menyantuni dan meraikan pekerja kontrak pembersihan USM (3D) di bawah Program Ramadhan Yayasan Amal, Alumni Sekolah Alam Shah dengan kerjasama USM pada 26 April 2022.
Objektif utama program tersebut diadakan adalah bagi meraikan golongan pekerja pembersihan yang sering diabaikan dan jarang dihargai, dari segi sumbangan yang telah disalurkan dan juga diberikan kepada masyarakat dan negara.
Pengarah IMCC, Aizat Hisham Ahmad di dalam ucapannya berkata, tanpa pekerja pembersihan, USM tidak mungkin dapat menjadi sebersih dan secantik seperti ini serta berharap menerusi bantuan yang diberikan ini, dapat sedikit sebanyak membantu dalam persiapan menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Sumbangan yang diberikan hari ini merupakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang telah menabur bakti kepada USM biarpun terlibat dalam bidang pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous and Difficult) yang sedikit kurang dipandang oleh masyarakat di luar sana,” kata Profesor Emeritus Dato’ Dr. Muhammad Idris Saleh, Ketua Projek Yayasan Amal Pulau Pinang.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut berkongsikan pengalaman beliau dengan menyifatkan petugas 3D ini sebagai individu yang sangat penting dan perlu dihargai.
Sumbangan yang diberikan oleh Yayasan Amal serta pihak USM berbentuk wang ringgit serta bungkusan ‘hamper’ sebagai tanda terima kasih.
Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 627