USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BAKAL TUAN RUMAH ROBOCON MALAYSIA 2 – 5 JUN 2022

285540406 5562081803837495 7713455760050710404 n

USM PULAU PINANG, 1 April 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menjadi tuan rumah setelah dilantik sebagai penganjur bersama dengan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi Pertandingan Robot Contest Malaysia 2022 (ROBOCON Malaysia 2022) yang akan berlangsung pada 2 hingga 5 Jun 2022 di Kompleks Sukan Azman Hashim USM.

Pertandingan berprestij peringkat kebangsaan itu diadakan untuk mempertingkatkan pengetahuan teknologi robot dalam kalangan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di samping memberi ruang kepada mahasiswa untuk mempamerkan kemahiran, inovasi dan daya kreativiti mereka dalam bidang penciptaan robot.

Taklimat teknikal kali kedua dan penyerahan alatan pertandingan kepada pasukan yang hadir telah berlangsung pada hari ini di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa.

Sebanyak 26 pasukan yang telah mendaftarkan diri daripada 21 IPT seluruh negara hadir di taklimat pada pagi ini dan turut diselitkan sesi balloting pasukan di taklimat tersebut.

Pasukan yang menjuarai Pertandingan ROBOCON peringkat kebangsaan nanti akan mewakili Malaysia untuk bertanding dalam ABU ROBOCON peringkat Antarabangsa 2022 di New Delhi, India pada 21 Ogos 2022.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup pertandingan dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 5 Jun 2022.

Turut hadir ke sesi taklimat tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Azlinda Azman merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana; dan Pengarah Program, Muhammad Nafi Rezani Tahrir.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Muhammad Fikri Omar (BHEPA USM)

  • Created on .
  • Hits: 270

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024