USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BINA KEKUATAN BERSAMA SECARA BERSTRATEGI

 

usmkelan1
 

KOTA BHARU, 21 Julai - Warga Universiti Sains Malaysia (USM) diminta untuk membina kekuatan bersama secara berpasukan namun yang lebih penting ialah secara yang berstrategi dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan. Ini akan dapat menjamin universiti sentiasa relevan dan membina satu kesatuan yang kuat.

Hal ini dinyatakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama warga Kampus Kesihatan di Kubang Kerian hari ini.

"Kita bukan sahaja perlu bekerja bersama-sama tetapi juga menyusun strategi yang betul dalam memastikan kita dapat mencapai segala hasrat yang ada dalam membawa universiti ke hadapan, apatah lagi sekarang ini sememangnya telah bekerja bersama-sama dengan mempunyai toleransi yang tinggi," kata Omar.

Naib Canselor kemudiannya menyampaikan sumbangan khas untuk keluarga warga USM yang telah meninggal dunia hasil kutipan oleh Kesatuan Kakitangan Am USM (KKAUSM) serta sumbangan pelbagai pihak untuk staf dan pelajar yang memerlukan. Kira-kira 300 orang warga kampus menghadiri majlis berbuka puasa tersebut termasuk alumni USM Kelantan.

Sebelum itu, beliau turut menemui bekas-bekas pelajar USM di Kelantan dan melancarkan Sekretariat Alumni USM Kelantan.

usmkelan2

 Sekretariat Alumni USM Kelantan dipengerusikan oleh Timbalan Pendaftar Kampus Kesihatan Haji Yusoff Abdullah (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.) dengan ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Dr. Azreen Adnan (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.), Dr. Farsham (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.), Hajah Anawiyah Abu Samah (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.), Zeti Eirmena Surya (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.), Haji Muhammad Yunus, Mohd Azri Abdul Rahman (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.) dan Azman Hj. Awang (This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)

"Kita ingin memastikan alumni USM sentiasa bersama-sama universiti dan terus berhubung untuk membantu dan memberikan buah fikiran yang berterusan melalui sekretariat ini yang jika telah kukuh bolehlah nanti menubuhkan persatuannya sendiri," kata Omar.

Sebelum ini USM turut melancarkan Sekretariat Alumni USM di Johor dan Sabah sebagai langkah mengukuhkan jalinan antara alumni dengan universiti melalui sekretariat sukarela ini.

Naib Canselor mempunyai jadual yang ketat sepanjang hari bermula dengan Perjumpaan Bulanan dengan Warga Kampus Kesihatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan pada awal pagi. Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Pengarah Kampus Profesor Dr. Mafauzy Mohamed serta dekan dan ketua-ketua jabatan.

"Kita perlu menghayati semangat Ramadhan dengan bekerja secara ikhlas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menunaikan amanah agama, demi kejayaan universiti dan negara," kata Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Ahmad Sukari Abdul Halim.

Secara berseloroh Naib Canselor pula dalam amanatnya kepada warga kampus berkata,  Dekan PPSP telah meletakkan tanda aras tinggi dalam memberikan "tazkirah"nya yang seharusnya diikuti oleh semua ketua jabatan dan kita perlu menyambut baik nasihat untuk bekerja bersama-sama dengan penuh "passionate" yang mengharapkan ganjaran dari Allah s.w.t dan tidak hanya bersandarkan kepada ganjaran wang dan kenaikan pangkat serta berusaha memanfaatkan sumber yang ada dengan sebaik mungkin dalam keadaan sekarang ini.

Naib Canselor kemudian diberikan taklimat tentang penawaran pengajian Sains Perubatan KLE India. Universiti perlu meningkatkan prasarana di sana untuk pembangunan sahsiah pelajar termasuk mengadakan pimpin siswa seperti mana yang dilaksanakan dalam kalangan pelajar baharu di dalam negara.

"Timbalan Naib Canselor (HEPP) akan menyelaraskan segera usaha ini di sana di samping merancang aktiviti keagamaan untuk faedah para pelajar," kata Naib Canselor.

usmkaelan3

Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan para penyelidik haji USM serta sukarelawan yang menyertai rombongan haji melalui pertubuhan sukarela pada musim haji ini.

"Kita perlu bersungguh-sungguh dalam usaha ini dengan menggabungkan pelbagai kepakaran yang ada untuk faedah jemaah haji seluruh dunia serta lebih kreatif dan inovatif dalam memastikan apa jua yang dibuat dapat membantu para jemaah haji," kata Omar.

Naib Canselor juga turut mengadakan pertemuan dengan Koperasi Warga USM Kelantan Berhad dan diberikan taklimat oleh Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Profesor Madya Dr. Mohamad Saat Ismail.

Antara kejayaan koperasi ini ialah menjadi satu-satunya gerakan koperasi negara yang membuka Pusat Dialisis Lestari dengan ambulannya sendiri yang turut menyediakan perkhidmatan jagaan di rumah (home care) dan "sport rehab", mengadakan Program Pemulihan Dalam Komuniti, pasaraya "Coop Mart", menyediakan pembiayaan peribadi kepada ahli, kafetaria serta tadika.

Pada sebelah petangnya, Omar turut mendengar taklimat cadangan memajukan kompleks Mesjid Pusat Islam USM Kampus Kesihatan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan, Dr. Haji Wan Nudri Wan Daud.

Menurut Haji Wan Nudri, usaha memaju dan menaiktaraf ini penting untuk menyediakan kemudahan dan prasarana pembangunan untuk faedah umat Islam yang berada di dalam kampus, mereka yang berurusan dan bertugas di Hospital USM serta kawasan sekitar, apatah lagi kemudahan yang sedia ada tidak dapat lagi menampung keperluan semasa.

usmkel4

Pada masa ini pelbagai kemudahan disediakan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan termasuk tempat Rawatan Islam dan Komplimentari yang sehingga kini memberi perkhidmatan kepada hampir 1,000 pesakit sejak diperkenalkan pada tahun 2011 yang sebahagiannya juga dirujuk oleh pegawai-pegawai perubatan di Hospital USM.

Memandangkan mesjid di Pusat Islam belum mendapat kelulusan untuk digunakan sebagai tempat untuk menunaikan solat Jumaat, Naib Canselor mencadangkan agar usaha dibuat untuk mendapat kelulusan pihak berkuasa agama demi kemaslahatan mereka berada di sekitar kampus termasuk pelajar, pesakit dan mereka yang menjaga pesakit, petugas di hospital dan masyarakat sekitar.

"Saya fikir kita perlu meneruskan usaha meminta kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat di sini untuk memberikan roh kepada mesjid terutamanya menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat kepada para petugas hospital, pelajar dan lain-lainnya untuk berbuat demikian walau pun terdapat mesjid di luar kampus untuk tujuan tersebut," cadang Omar.

20130721 192334 resized

Ini adalah selaras dengan cadangan dan hasrat untuk membesarkan ruang mesjid terutamanya di bahagian anjung bagi menyediakan kemudahan dalam menjalankan aktiviti keagamaan dan persekitarannya untuk keselesaan lebih ramai jemaah pada masa hadapan dengan pertambahan permintaan keperluan tersebut.

Katanya lagi, USM juga perlu mengusahakan pelbagai cara untuk meningkatkan sumbangan pelbagai pihak bagi tujuan tersebut termasuk menerokai peluang melalui Program Wakaf USM. - Teks dan foto: MOHAMAD ABDULLAH

 

 

 

 

 

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1659

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024