USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GRADUAN IJAZAH DOKTOR PERUBATAN SEMEMANGNYA “PADU” DARI GENERASI KE GENERASI

komnbnk78

USM PULAU PINANG, 25 Mei 2022 – Di mana terletaknya kehebatan Hang Tuah jika bukan di huruf “ ت ”; begitu juga dengan di mana terletaknya kehebatan Doktor Perubatan, jika bukan di tangan yang cekap serta mindanya yang cerdas.

Tiga graduan cemerlang ini masing-masing telah berjaya dinobatkan sebagai pelajar tahun akhir terbaik dan sekaligus merangkul Anugerah Pingat Emas USM serta Hadiah Buku USM di Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) yang sedang berlangsung di kampus induk USM.

Leow Tan Chun Khai dan Iwana Che Ismail berjaya menjadi pemenang Pingat Emas USM bagi Ijazah Doktor Perubatan, manakala Laveeniyaa Arulsamy menjadi pemenang Hadiah Buku USM dalam bidang Perubatan Masyarakat.

Ketika ditemu bual, Leow Tan berasa sangat gembira dengan pencapaian yang diperolehinya serta menyeru semua graduan lain supaya meneruskan usaha mereka agar dapat menyelesaikan sesi pembelajaran dengan jayanya.

Penerima Pingat Emas daripada B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. itu juga kongsikan liku-liku cabaran yang dilalui bagi menggenggam segulung ijazah di tangannya.

“Proses pembelajaran ketika pandemik COVID-19 memuncak adalah sangat sukar, yang mana kami kurang mendapat pendedahan ekoran perintah berkurung yang dijalankan.”

“Namun begitu, saya berterima kasih kepada semua pensyarah kerana kerap membantu dan memberikan yang terbaik kepada proses pembelajaran kami sehingga berjaya pada hari ini,” tambahnya.

Manakala bagi Iwana yang juga berjaya menerima Pingat Emas daripada Persatuan Alumni Doktor USM (PADU), beliau merasakan sesi pembelajaran di dalam keadaan pandemik telah banyak membuka ruang untuk mempelajari perkara baru serta mempersiapkan diri untuk sentiasa bersedia bagi menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan.

“Walaupun dengan persiapan ini, di dalam bidang klinikal ia merupakan perkara yang sukar dilakukan kerana banyak melibatkan sesi pembelajaran secara kaedah praktikal”.

Kehilangan insan tersayang pastinya meninggal kesan yang mendalam, itulah yang dilalui oleh pemenang Buku Emas daripada Persatuan Doktor-Doktor Perubatan Malaysia, iaitu Laveeniyaa yang kehilangan ayahnya ketika proses pembelajaran sedang ditempuhinya.

“Saya sangat rapat dengan beliau, di saat kehilangannya saya merasa sangat sedih dan pedih untuk menerima perkara tersebut, namun saya sering mengingatkan pada diri saya tujuan saya memulakan perjalanan ini, dan saya perlu teruskan perjalanan ini sehingga ke akhirnya”.

Biarpun mereka masing-masing mengalami kesukaran di dalam sesi pembelajaran, ia tidak menghalang atau mematahkan semangat untuk terus berjuang demi mengejar kejayaan.

CDH 0190

Kehebatan mereka turut diakui oleh Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah, iaitu Presiden pertama bagi Persatuan Alumni Perubatan USM (PADU), yang mana beliau menyuarakan rasa gembira di atas kejayaan graduan tersebut.

“Graduan Doktor Perubatan telah menjalankan kerja yang cemerlang daripada dahulu sehingga kini dan semoga graduan di masa hadapan dapat meneruskan kecemerlangan ini serta terus “PADU”,” kata Presiden pertama PADU itu.

PADU merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1986, dengan Dato’ Jafri selaku Presiden; Setiausaha Persatuan, Dr. Abdul Shukor Abd. Hamid dan Dr. Abd. Razif Abd. Razak sebagai Bendahari Persatuan.

Aktiviti yang dijalankan oleh PADU tidak terhad kepada aktiviti akademik sahaja, malah mereka cuba membantu pesakit yang memerlukan melalui Tabung Kebajikan dan Pendidikan PADU.

Ramai pesakit telah mendapat manfaat daripada sumbangan peralatan perubatan daripada tabung tersebut.

Teks: Mohamed Hadri Iman Mohamed Hazli/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024