USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAHIRKAN RAMAI PAKAR BEDAH NEURO UNTUK KEPERLUAN NEGARA

USM PULAU PINANG, 22 Mei 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) sehingga kini telah melahirkan 110 daripada 152 pakar bedah neuro bertauliah yang ada dalam negara, berdasarkan data terkini yang diperoleh daripada National Specialist Register (NSR).

Pakar Bedah Neuro merangkap Pensyarah Pembedahan berpengalaman USM, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, jumlah berkenaan bagaimanapun belum cukup untuk menampung keperluan sebenar negara.

8CF22792 083C 429F 8042 A9B787114F60

Menurutnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah meminta agar USM selaku perintis program berkenaan, bersama-sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan.

“Pihak KKM menyeru agar kita dapat melatih kira-kira 25 pakar setahun dan bermula Disember tahun ini, USM, UKM dan UM akan bekerjasama untuk melatih pakar-pakar neuro untuk cuba menampung keperluan di seluruh negara,” ujar beliau.

Jafri Malin yang juga Pengerusi Kluster Otak dan Tingkah Laku, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM ditemui ketika Upacara Konvokesyen ke-59 USM di sini semalam.

Dalam upacara pada sidang ketiga itu, sejumlah 574 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing, antaranya Sarjana Neurosains, Sarjana Neurosains Kognitif, Sarjana Psikologi Klinikal dan sebagainya.

Hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah graduan-graduan cemerlang bagi program berkenaan, antaranya Dr. Ang Song Yee dan Dr. Diana Noma Fitzrol, masing-masing kini telah memulakan karier sebagai tenaga pengajar di Kampus Kesihatan USM.

7E5487C4 8C83 4812 8BFA 8B24AF3EDA67

Dalam pada itu, Timbalan Penyelaras Program bagi kursus Sarjana Neurosains Kognitif, Dr. Aini Ismafairus Abd Hamid pula berkata, sarjana Neurosains Kognitif juga merupakan antara kursus kritikal yang amat diperlukan dalam bidang sains, teknologi dan kesihatan negara.

Beliau berkata, program secara kerja kursus itu mula ditawarkan di USM pada 2018 dan sehingga kini seramai 21 graduan telah berjaya berijazah dalam kursus berkenaan yang turut menerima calon dari pelbagai bidang sains dan sastera.

“Pihak program khususnya serta pihak universiti amnya sangat berbangga dengan pencapaian yang dicapai oleh para graduan. Kita berharap dengan ilmu serta kemahiran yang diperolehi dapat memberikan manfaat dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi sama ada neuropendidikan, neuropemasaran, neuropsikologi, Islam dan Neurosains serta pelbagai bidang lain dalam neurosains kognitif.

“Selaku pendidik, kita juga sentiasa berbangga dengan setiap pencapaian graduan. Kita juga menggalakkan para pelajar supaya sentiasa mempraktikkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan sentiasa dahagakan ilmu untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat,” ujar beliau lanjut.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 568

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024