ISU BULI DALAM KALANGAN DOKTOR PELATIH: BILAKAH SEMUA INI AKAN BERAKHIR?
KOTA BHARU, 12 Mei 2022 – Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) (PADU) memandang serius isu kejadian buli dalam sektor perkhidmatan kesihatan, terutamanya dalam kalangan doktor pelatih.
Kes ini mula hangat diperkatakan setelah kejadian mengenai kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang dikaitkan dengan kesan pembulian yang berlaku terhadap mangsa. Namun, kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Rentetan dari kes ini, timbul pula beberapa pendedahan cubaan bunuh diri oleh beberapa bekas doktor pelatih yang pernah dibuli sebelum ini semasa dalam tempoh latihan doktor pelatih.
Presiden PADU, Profesor Dato' Dr. Jafri Malin Abdullah dalam satu kenyataan mentakrifkan maksud sebenar buli. Katanya, buli dalam isu ini boleh membawa maksud apa-apa daripada penggunaan kata-kata kasar atau bahasa kesat hinggalah diminta melakukan tugas oleh seseorang yang lebih senior. Tambahan lagi, walaupun arahan yang berkaitan dengan kerja, jika dianggap tidak boleh diterima oleh doktor pelatih malah boleh ditafsirkan sebagai dibuli. Budaya buli adalah salah dan tidak boleh diterima di mana-mana, terutamanya di hospital.
Beliau berkata, buli-membuli dalam bidang kesihatan di Malaysia ini bukanlah satu benda baharu. Setiap kali ada kejadian yang tular, timbul balik isu buli-membuli ni yang pernah berlaku dan merumitkan situasi. Sepatutnya aduan yang diterima mengenai kes buli dalam kalangan doktor pelatih perlu diambil perhatian dan siasatan secara holistik harus dijalankan bagi memastikan kesahihan kejadian buli itu disamping mencari punca kejadian buli dan penyelesaian terbaik untuk membendung masalah ini.
Tidak dinafikan, program latihan siswazah yang wajib dilengkapkan dalam masa sekurang-kurangnya dua tahun oleh doktor pelatih merupakan satu tempoh yang memerlukan mentaliti yang kental dan semangat juang yang tinggi untuk menghadapi tekanan kerja. Sebagai doktor pelatih, semestinya ada masa kerja yang panjang apabila mereka menghadapi jumlah barisan pesakit yang sentiasa ada yang memerlukan perawatan dan penjagaan mereka. Kehidupan sebagai doktor perubatan tidak pernah mudah dan seseorang itu perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran yang mendatang dalam kerjaya perubatan mereka.
Menurutnya PADU meletakkan harapan tinggi kepada pihak petugas atasan agar benar-benar serius dalam merangka garis panduan untuk menyelesaikan masalah buli membuli dalam sektor perkhidmatan kesihatan. Jika ada secara terang-terangan di mana terdapat penyalahgunaan kuasa yang jelas berulang kali dilakukan dengan usaha untuk mewujudkan kemudaratan fizikal, sosial atau mental, PADU tidak akan membenarkannya. PADU akan membantu mana-mana doktor perubatan yang datang kepada kami untuk mendapatkan bantuan, terutamanya jika ia melibatkan buli. Namun, jangan terpedaya dengan aduan yang berterusan oleh mereka yang merayu untuk memudahkan kehidupan seorang doktor. Kehidupan sebagai doktor perubatan tidak pernah mudah dan seseorang itu perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran yang mendatang dalam kerjaya perubatan mereka.
PADU amat berharap bahawa pasukan terlibat yang sedang ditubuhkan oleh kementerian kesihatan untuk melihat budaya buli dan juga melihat kebajikan semua doktor dalam ekosistem ini di mana budaya buli memberi kesan kepada semua orang dan bukan hanya doktor pelatih.
PADU juga menyarankan agar mewujudkan sistem beri maklumat (whistleblower) yang lebih efektif jika wujud kejadian buli. Perkemaskan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA). Inisiatif ini nampak ringan dan kecil tapi nak memulakan sesuatu mestilah dengan benda yang senang dicapai. Lama-kelamaan ianya akan semakin ditambah baik, seperti menambahbaik platform yang sedia ada oleh pihak hospital untuk memberi sokongan dan menjadi saluran yang tepat untuk membantu doktor pelatih menghadapi dan mengatasi tekanan kerja seterusnya mencegah kejadian buli berlaku.
Stop this vicious cycle of bullying: Anda mampu mengubahnya. Jadilah diri kita sebagai pengubahnya. Didiklah doktor-doktor generasi baharu dengan budaya sihat di tempat kerja, bukan membuli. Jika tidak kompeten, tegurlah dengan berhemah. Buli bukanlah jalan penyelesaian.
Teks: Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah [Presiden Persatuan Alumni Doktor USM] 12/5/2022
- Created on .
- Hits: 1034