USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMBINAAN STESEN BUMI DAN PUSAT TEKNOLOGI ANGKASA ANGKASA-X – USM PACU PEMBANGUNAN EKONOMI ASIA TENGGARA

NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 18 Mei 2022 – Penubuhan Stesen Bumi (Earth Station) di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal bakal menjadi pemangkin pemacuan ekonomi serantau dengan keupayaan meningkatkan komunikasi internet yang lebih canggih.

Menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan USM Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, industri angkasa dikatakan bernilai lebih USD1 trilion menjelang tahun 2049. Dijangkakan 75,000 satelit komunikasi LEO (Low Earth Orbit) akan dilancarkan menjelang 2030.

5696465E 569A 49A6 9224 4AA34DC5B683

"Biasanya satelit komunikasi berada di orbit yang lebih tinggi, iaitu orbit geopegun (30,000 km). Tetapi dengan kemajuan teknologi sekarang, satelit ini boleh diletak di orbit yang lebih rendah, iaitu LEO (500 - 600 km)," jelas Nor Azazi.

Satelit angkasa lepas akan menjadi pelaburan utama Malaysia sebagai tapak kepada wilayah ASEAN apatah lagi dianggarkan 50% penduduk Asia Tenggara tidak mendapat akses kepada internet.

Tambah beliau, keupayaan mengakses kepada internet, penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat akan memberi kesan menyeluruh kepada rantau ini memandangkan ia adalah kunci kepada pembangunan ekonomi dan kehidupan masa hadapan.

Menurut Nor Azazi, teknologi masyarakat yang inklusif ini penting kepada peningkatan taraf hidup masyarakat, proses pendidikan dan mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalam pembangunan perniagaan, penjagaan kesihatan, keselamatan awam dan pelbagai lagi.

Tambahnya, upacara pecah tanah untuk stesen Bumi Angkasa X di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal menjadi mercu tanda kerjasama dalam pendidikan kejuruteraan angkasa dan stesen bumi ini menjadi platform kepada misi Satelit Angkasa X sekaligus menyediakan ruang makmal pembangunan dan pemasangan satelit yang bakal menjadi pemangkin pembangunan ekosistem industri angkasa Malaysia.

USM memperuntukkan kawasan seluas 2 ekar untuk tujuan pembinaan stesen Bumi Angkasa-X dan menyediakan makmal bagi penubuhan Pusat Teknologi Angkasa untuk syarikat swasta Angkasa-X bagi tujuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), AIT (Assembly, Integrating and Testing) untuk membina dan mengoperasi Angkasa-X A-SEANSAT.

"Pusat ini juga menyediakan kemudahan asas kepada pelajar dan para profesional untuk mendapat pengalaman 'hands-on' penyelidikan dan pembangunan satelit.

"Kerjasama kedua-dua pihak juga membolehkan penghasilan kursus profesional kejuruteraan yang pertama seumpamanya di Asia yang akan ditawarkan kepada calon pelajar ijazah tinggi USM dalam meningkatkan keupayaan, kemahiran dan pengalaman teknikal mereka. Kursus profesional ini dijalankan dengan kerjasama pihak swasta yang membekalkan peralatan latihan," kata Nor Azazi.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 447

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024