USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM TEMPA SEJARAH BANGUNKAN PERPUSTAKAAN METAVERSE SPACE PERTAMA DI MALAYSIA

Perpustakaan IPPT dengan kerjasama Bahagian IT@AMDI telah membangunkan sistem dalaman atas talian yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Data 3D (VR Discovery), yang mana ia dapat melakukan transformasi bahan sumber maklumat perpustakaan seperti bahan berbentuk imej, model anatomi, buku elektronik, dokumen dan lain-lain dalam format tiga dimensi (3D).

SAINS@BERTAM, 19 Mei 2022 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menempa sejarah tersendiri apabila menjadi universiti pertama di negara ini yang memiliki Perpustakaan Metaverse Space berkonsepkan realiti maya (Virtual Reality, VR).

1BF39AC8 F0AA 404E 9939 4BCABECF465E
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihaknya memperkenalkan konsep metaverse iaitu realiti maya (VR) kepada warga universiti kerana ia semakin mendapat tempat dalam arus perdana teknologi dan mempunyai potensi yang sangat luas untuk dikembangkan.

“Bergelar Metaverse Space Library@IPPT, perpustakaan di IPPT ini menawarkan perkhidmatan yang berimpak tinggi dan memberi kelainan berbanding kaedah konvensional sedia ada dengan menggunakan platform realiti maya tiga dimensi yang kreatif dan inovatif pada masa kini.

“Sejajar dengan revolusi pendidikan, amat bertepatan sekali dengan situasi di era global ini, yang mana rata-rata perkhidmatan perpustakaan kini beralih ke arah platform maya dan digital, oleh itu penambahbaikan berterusan perlu dilaksanakan untuk dimanfaatkan semua pengguna, khususnya pelajar USM,” katanya, ketika hadir menyempurnakan perasmian perpustakaan tersebut pada 28 April 2022 lalu di sini.

Tambah beliau, “Perpustakaan masa kini tiada pilihan lain, selain memilih untuk menuju ke arah perpustakaan maya atau digital mahupun hibrid, mengikut era IT terkini seiring dengan misi dan visi universiti dalam menyokong tunggak penyelidikan dan program akademik.”

Menurutnya lagi, Perpustakaan IPPT dengan kerjasama IT@AMDI telah berjaya membangunkan Sistem Pengurusan Data 3D (VR Discovery), yang mana telah dilakukan transformasi bahan sumber maklumat perpustakaan seperti pembentukan imej, model anatomi, buku elektronik, dokumen dan lain-lain kepada penghasilan paparan yang berbentuk tiga dimensi (3D).

4540679E 7780 473E BA11 62B8C396364F

Keunikan projek ini adalah pengguna dapat dibawa untuk meneroka dunia realiti maya (VR) kepada web portal GoVR dengan menggunakan set kepala khas (special headset).

Inisiatif yang dikenali sebagai WebVR ini membolehkan pengguna Perpustakaan IPPT mendapatkan pengalaman melalui format realiti maya tiga dimensi dalam capaian sumber maklumat perpustakaan.

Sementara itu, ketua projek, Hasniza Amno berkata, projek Metaverse Space Library@IPPT ini yang diterajui oleh Perpustakaan IPPT dilaksanakan dengan konsep didik hibur di dalam perpustakaan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran imersif, yang mana pelajar berada dalam satu suasana pembelajaran yang interaktif secara virtual.

“Selain itu, program realiti maya tiga dimensi seperti ini diharap dapat membantu membangunkan IPPT sebagai pusat penyelidikan ke peringkat lebih tinggi serta meningkatkan kualiti ke arah kecemerlangan bagi USM,” kata Hasniza yang juga merupakan ketua perpustakaan IPPT.

Pengarah IPPT Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin pula berkata, “Pengguna meletakkan harapan yang tinggi terhadap perkhidmatan perpustakaan dan mereka diharap dapat menggunakan perkhidmatan yang berbeza ini berbanding dengan sebelum ini.”

C1B74F97 0604 4155 A2DD F270A22BCABF

Turut hadir di majlis perasmian ialah Timbalan Naib Canselor, Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md Roslan Hashim; Pemangku Ketua Pustakawan USM, Mohd Nasir Mohd Rashid; dan Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz.

Teks: Mahirah Mahyidin/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 490

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024