USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IFTAR@USM: MENERUSKAN TRADISI GOTONG ROYONG SEBAGAI TERAS UTAMA

usmmasak3

PULAU PINANG, 21 JULAI – Hikmah di sebalik amalan bergotong royong dan saling tolong-menolong sepanjang persiapan menyerdiakan juadah untuk berbuka puasa cukup membuatkan warga staf dan pelajar tidak putus bergotong-royong, satu tradisi yang telah lama berjalan  di Masjid Al-Malik Khalid, Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia (USM). Amalan mulia yang telah lama diamalkan di USM ini membuatkan masyarakat di dalam dan di luar kampus begitu selesa untuk berbuka puasa di Masjid ini.

Pada tahun ini dianggarkan seramai 400 sehingga 500 orang yang hadir berbuka di Masjid Malik Al-Khalik, jumlah yang jauh berkurangan memandangkan pada waktu ini pelajar sedang bercuti semester.  Biasanya perkarangan Pusat Islam menjadi tumpuan sehingga mencecvah 3,000 orang yang datang berbuka puasa terutamanya dalam kalangan pelajar antarabangsa.

Di samping kemudahan yang disediakan selesa dan mencukupi, ahli jemaah yang hadir menikmati hidangan sambil  saling bantu-membantu sebelum dan selepas menikmati juadah.

Malah, bagi ramai pelajar, pengalaman berada di kampus USM dan berbuka puasa di Mesjid Al-Malik Khalid adalah sesuatu yang sukar dilupakan yang berjalan meriah tetapi penuh hemah.

Menurut Penolong Pengarah, Pusat Islam, Ustaz Iswandi Abdul Mokmin, setiap tahun sebelum tibanya bulan Ramadhan kita telah mengatur rangka kerja dan jadual lengkap para sukarelawan yang ingin membantu menyediakan juadah  agar ia berjalan dengan baik.

“Sepanjang Ramadhan, kami menyediakan jadual tugas setiap bahagian masakan supaya para sukarelawan mudah mengikuti menu-menu yang perlu disajikan,” kata Iswandi.

Tambahnya lagi, walaupun bukan hari bekerja seperti Sabtu dan Ahad, ramai staf yang sanggup datang seawal pagi hingga petang untuk membantu menyediakan juadah sehinggalah waktu berbuka sekaligus berupaya mengimarahkan Mesjid Al-Malik Khalid. Namun staf yang  ingin datang membantu pada waktu bertugas, perlu mendapat kebenaran Ketua Jabatan bagi memastikan tugas hakiki telah diselesaikan terlebih dahulu.

Iswandi  yang juga Ketua Sekretariat Tabung Agihan Zakat, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar menjelaskan bahawa sepanjang amalan ini diterapkan di sini, Pusat Islam telah mengenal pasti warga kampus terutamanya pelajar yang kesusahan dan amat memerlukan bantuan.

“Hingga kini, pihak Pusat Islam telah dapat menjejaki beberapa orang pelajar yang tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan juadah berbuka di Masjid ini termasuk menyimpannya untuk bersahur kelak,” kata Iswandi

Tambah beliau, dengan peruntukan yang agak terhad pada tahun ini, pihak Masjid cuba berjimat sebaik mungkin dan pada masa yang sama kualiti juadah tetap dijaga demi kepuasan ahli jemaah.

“Walaupun pihak Masjid berhadapan kekangan kewangan, tetapi tetap bersyukur kerana bekalan dijamin mencukupi sehingga penghujung Ramadhan nanti sebahagian besarnya hasil sumbangan orang ramai, termasuk Jabatan-jabatan dan warga kampus,” kata Iswandi.

Pada 24 Julai ini juga Masjid Al-Malik Khalid akan menerima kunjungan Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas dan isteri Y.A.Bhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff untuk berbuka bersama warga kampus.

Teks: Mohd Azrul Mohd. Azhar  Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2114

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024