SUMBANGAN GURU PERLU TERUS DIHARGAI DAN DIMARTABAT
Selamat Hari Guru diucapkan kepada seluruh warga pendidik terutamanya warga pendidik dan akademia di USM dan teruskan menabur bakti kepada anak muda pemimpin masa hadapan negara Malaysia.
USM PULAU PINANG, 16 Mei 2022 – Biarpun diberi jolokan dengan panggilan cikgu, guru, ustaz, pensyarah dan lain-lain lagi, merekalah yang menjadi tulang belakang dalam menggalas tanggungjawab untuk mendidik kita semua dahulu, kini dan akan datang supaya penyampaian ilmu itu dapat terus mengalir dengan jernihnya.
Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang turut berterima kasih kepada seluruh warga pendidik ini sempena sambutan Hari Guru yang disambut pada hari ini.
Tambah beliau, setiap kali tanggal 16 Mei saban tahun, pasti kita akan teringat kepada pendidik yang pernah dahulu memerah keringat mereka untuk membentuk setiap insan agar menjadi seseorang yang berguna pada masa kini.
“Pihak pengurusan USM sentiasa menyanjung tinggi golongan pendidik ini, kerana sebagai sebuah institusi ilmu, kita semua juga adalah pendidik yang terus diberi amanah untuk membentuk para pelajar di Menara Ilmu ini agar menjadi insan yang berjaya di suatu masa nanti,” tegasnya.
Tambahnya, kejayaan pelajar adalah kepuasan dan kebanggaan para pendidik dan tidak dapat dinafikan besarnya pengorbanan seorang pendidik dalam mendidik pelajarnya menjadi orang yang berguna kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
“Sambutan Hari Guru ini sangat signifikan walaupun diraikan dalam suasana dan kemeriahan yang sederhana kerana ianya adalah sebagai tanda penghargaan para pelajar atau murid kepada para pendidik mahupun antara rakan-rakan pendidik di antara satu sama lain,” katanya lagi.
Tema sambutan Hari Guru bagi tahun ini ialah “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA”. Guru merupakan tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara dan peranan dan kefungsian guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid. Guru juga perlu memastikan murid yang lahir daripada sistem pendidikan negara mempunyai sahsiah serta daya saing yang tinggi melalui penjiwaan amalan baik yang diterapkan di sekolah secara semula jadi.
Peranan guru ialah mewujudkan persekitaran pembelajaran, yang mana menerapkan 14 elemen SEJAHTERA di dalam dan luar kelas untuk dijadikan amalan dalam kehidupan murid di sekolah dan luar sekolah.
Akronim yang menggabungkan 14 elemen nilai-nilai murni berikut memberi penerapan dalam aspek nilai-nilai murni. Huruf “S” membawa maksud selamat, seronok dan sihat, huruf “E” pula bermaksud etika dan empati, huruf “J” bermaksud jati diri, huruf “A” bermaksud adab sopan, huruf “H” bermaksud harmoni, huruf “T” bermaksud tekun, teliti, dan terampil, huruf “E" bermaksud eksplorasi, huruf “R” bermaksud rasional dan huruf “A" bermaksud artikulasi.
Selamat Hari Guru diucapkan kepada seluruh warga pendidik terutamanya warga pendidik dan akademia di USM dan teruskan menabur bakti kepada anak muda pemimpin masa hadapan negara Malaysia.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Poster: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1300