USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UPACARA KONVOKESYEN KE-59 USM: PROSES PENGAMBILAN PAKAIAN AKADEMIK DAN KAD TETAMU GRADUAN BERMULA 12 – 17 MEI 2022

USM PULAU PINANG, 10 Mei 2022 – Upacara Konvokesyen ke-59 Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Sidang Kedua hingga Sidang Kedua Belas akan berlangsung pada 21 Mei hingga 31 Mei 2022 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang.

A22A1EB9 E65E 4B07 8251 7845A7CFB8F3

Upacara Konvokesyen ke-59 menyaksikan 6,706 graduan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Kehormat, Profesor Emeritus, Profesor Emerita, Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana – 2,231), Ijazah Sarjana Muda (4,419) dan Diploma Kejururawatan (50).

Proses pengambilan pakaian akademik akan dijalankan secara berperingkat mengikut jadual janji temu yang ditetapkan dan lokasi pengambilan pakaian akademik ialah di Foyer DTSP yang akan dibuka bermula dari 12 hingga 17 Mei 2022, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Semua graduan wajib mematuhi jadual pengambilan pakaian akademik mengikut sidang yang telah ditetapkan yang telah ditetapkan oleh pihak Universiti dan graduan perlu mengemukakan e-slip pengambilan pakaian akademik, kad matrik atau kad pengenalan atau passport di Kaunter Semakan Graduan semasa datang mengambil pakaian akademik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pakaian Akademik, Mohd Saifull Yunus, graduan perlu mengisi slot janji temu untuk proses pengambilan pakaian akademik, dan sistem ini dilihat dapat memudahkan pemantauan dan pengurusan Jawatankuasa Pakaian Akademik dalam mengurus proses pembahagian pakaian akademik yang mana semua maklumat graduan boleh didapati dalam satu portal.

“Sistem ini juga membantu pihak universiti dalam mengurangkan penggunaan kertas. Melalui Sistem Graduan ini, mereka hanya perlu menggunakan kod QR sahaja untuk proses pengambilan dan pemulangan pakaian akademik.

EAE56F50 ADDB 4BD7 B3A2 69CA84AF8380

 “Graduan cuma perlu menyimpan kod QR di dalam telefon dan mengimbas kod QR di kaunter untuk pengambilan dan pemulangan pakaian akademik,” kata Saifull yang juga merupakan Pegawai Tadbir, Jabatan Pendaftar.

Selain pakaian akademik, setiap graduan juga dikhaskan dua kad jemputan tetamu graduan yang boleh diambil dari kaunter khas yang disediakan di Foyer DTSP pada masa yang sama dengan pengambilan pakaian akademik.

Memandangkan negara sudah beralih ke fasa endemik, untuk konvokesyen kali ini, setiap graduan dibenarkan untuk membawa dua tetamu pengiring untuk memasuki dewan ketika majlis konvokesyen berlangsung. Tetamu graduan hendaklah memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian bagi majlis rasmi.

FE565B65 9BC8 486F A16D 098103CEF2E2

Graduan atau wakil yang hadir mengambil jubah harus memastikan mereka bukan dalam kalangan yang sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), sihat tubuh badan dan tidak bergejala dan diwajibkan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal sepanjang tempoh pengambilan pakaian akademik.

Prosedur operasi standard (SOP) yang sama turut diguna pakai untuk tetamu graduan yang memasuki DTSP nanti.

Untuk makluman lanjut mengenai pengambilan jubah, sila layari pautan sistem https://convo.usm.my/index.php/ms/pakaian-akademik-bm/pengambilan-pa .

Text: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 809

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024