MENGENANG PENGORBANAN WIRA NEGARA
SUBANG JAYA, 16 Julai, Memasuki perkarangan kediaman wira negara, allahyarham ACP Ibrahim Lebar yang terkorban pada 2 Mac 2013 dalam Peristiwa Berdarah Serangan Pengganas Lahad Datu yang disambut oleh balu beliau Rosnah Dahlan, 52, dan puterinya Amira Shahida, 17, terasa sayu namun berbangga dengan semangat dan pengorbanannya.
"Setelah lebih 100 hari kehilangannya, kami sudah dapat menerima hakikat pemergiannya dan allahyarham tiada lagi di sisi kami," kata Rosnah memulakan perbualan dalam kunjungan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman bersama-sama penulis dan beberapa orang pemimpin pelajar termasuk Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM Muhammad Ammar Abdul Aziz.
Gambar-gambar allahyarham bersama bendera Jalur Gemilang yang berlipat kemas di atas almari dan masih terpamer dalam bingkai-bingkai yang menyimpan kenangan. Sekeping foto dalam bingkai yang merakamkan kenangan allahyarham menggenggam segulung ijazah dari Pro Canselor USM ketika itu, Tun Daim Zainuddin turut tergantung megah.
"Arwah amat berbangga dan bersyukur dengan ijazah yang diterimanya di USM pada tahun 1998 itu," jelas Rosnah menunjukkan foto tersebut.
Naib Canselor menyampaikan cek sumbangan warga USM sebanyak RM10,000 untuk mengenang keperwiraan Ibrahim, seorang wira yang seharusnya semangatnya dicontohi dan diingati oleh rakyat Malaysia.
"Kami berbangga dengan keperwiraan allahyarham dan merasai pemergian beliau dan sumbangan ini datangnya daripada seluruh warga termasuk staf dan pelajar serta kutipan yang diusahakan oleh Sukarelawan Polis USM (SUKSIS) dengan sebahagian besar usaha dibuat oleh pelajar kita," kata Omar.
Menurut Omar lagi, pelajar-pelajar USM cukup prihatin dengan pelbagai peristiwa yang berlaku sekitar mereka seperti mana yang ditunjukkan melalui keupayaan mereka menjana lebih RM100,000 untuk menubuhkan Tabung Pendidikan Palestine.
Rosnah kemudiannya mengucapkan penghargaannya dan meminta disampaikan salam kepada pelajar dan seluruh warga yang begitu prihatin.
"Sebagai anak muda, saya percaya semangat seperti ini penting kepada masa hadapan untuk menghadapi segala cabaran dan berupaya untuk berdikari dalam menyelesaikan apa jua masalah," katanya memberi nasihat kepada mereka yang hadir.
Beliau yang ternyata terharu dengan kunjungan pihak USM itu turut menzahirkan penghargaan kerana Naib Canselor melapangkan masa menziarahi beliau sekeluarga.
"Kunjungan seperti ini amat bermakna kepada kami dan memberi semangat penuh bermakna untuk meneruskan kehidupan," kata beliau yang banyak bercerita tentang anak-anak dan perancangan masa hadapan mereka dalam meneruskan pengajian terutamanya Amira Shahida yang begitu berminat dengan dunia masakan.
"Insya-Allah, jika ada yang boleh kami bantu, terutamajya dalam hal pendidikan, USM sedia melakukan dalam lingkungan keupayaannya," kata Omar di akhir pertemuan.
Dari wajahnya dapat dirasai perasaan seorang ibu yang menantikan kepulangan anak-anaknya termasuk yang sedang mengikuti pengajian di Mesir dan menjalani Ramadhan dan sambutan Aidilfitri tanpa orang yang tersayang.
Kami meninggalkan kediaman wira negara kelahiran Besut Trengganu itu dengan doa untuk beliau. Jasad beliau disemadikan di Tanah Perkuburan USJ22, Subang Jaya, Selangor. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah swt. Alfatihah. - Teks/Foto: MOHAMAD ABDULLAH.
- Created on .
- Hits: 2451