MAKMAL PENCIRIAN BAHAN BUMI SEDIA KEMUDAHAN TERCANGGIH ANALISIS PENYELIDIKAN ARKEOLOGI
USM PULAU PINANG, 11 Mei 2022 – Makmal Pencirian Bahan Bumi (MPBB) atau Earth Material Characterisation Lab yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Dato' Seri Abdul Razak bin Jaafar hari ini adalah satu-satunya makmal khusus untuk penyelidikan arkeologi yang terdapat di Malaysia dan terbaik di Asia Tenggara.
Antara universiti ternama dunia yang mempunyai makmal ini ialah Harvard University, Cambridge University dan Tokyo University.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon, makmal berharga kira-kira RM17 juta ini dilengkapi dengan peralatan-peralatan tercanggih (top-end instruments) untuk menganalisis penyelidikan arkeologi.
Makmal ini telah mendapat akreditasi ISO17025 oleh Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) pada Mac 2022.
Makmal ini menyediakan kemudahan untuk menganalisis bahan artifak dan bahan bumi yang dibawa dari lapangan. Maklumat elemen/komposisi kimia dan sumber mineral dapat ditentukan daripada setiap artifak yang dikaji.
Menurut Stephen Chia, makmal ini amat penting untuk membantu membuat interpretasi terhadap teknologi pembuatan yang digunakan oleh masyarakat lampau dan asal sumber yang digunakan.
"Selain itu, usia sesuatu artifak (bahan berasaskan mineral kuarza dan feldspar) juga boleh ditentukan menggunakan kaedah OSL TL (optical stimulated luminescence) yang terdapat di MPBB dan secara langsung dapat mengenal pasti usia tapak arkeologi yang dikaji.
"Konservasi dan rekonstruksi sesuatu artifak amat penting untuk memastikan artifak yang dijumpai dapat dipelihara untuk tempoh yang lebih lama," jelas beliau.
“Kerana itu, MPBB dilengkapkan dengan alatan seperti 3D-Xray dan makmal seramik. Makmal ini turut menawarkan perkhidmatan analisis kepada semua penyelidik dan pelajar dari dalam dan luar USM,” katanya lagi.
Antara peralatan dan aksesori yang terdapat di sini ialah SEM (Scanning Electron Microscope) untuk menganalisis pengimejan dan kimia permukaan, ICPMS (Inductive Coupled Plasma Mass Spectroscopy) untuk menganalisis elemen kimia bahan, XRF (X-Ray Flourescence) untuk menganalisis elemen kimia bahan, XRD (X-Ray Diffraction) untuk menganalisis komposisi kimia bahan dan OSL TL (Optical Stimulated Luminescence) untuk menganalisis pentarikhan artifak.
Turut disediakan ialah Makmal DNA untuk menganalisis DNA (etnoarkeologi); Makmal Seramik untuk menganalisis seramik dan eksperimen etnoarkeologi; Makmal 3D-Xray untuk menganalisis X-Ray sesuatu bahan artifak; Makmal mikroskop untuk menganalisis permukaan sampel, bahan metalurgi dan sampel geologi; dan Arkeobotani yang menganalisis debunga untuk rekonstruksi paleoalam.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 847