USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEBAJIKAN STAF KEUTAMAAN UNIVERSITI

CDH 8929

USM PULAU PINANG, 10 Mei 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan sentiasa mengutamakan kebajikan warganya termasuk staf dalam melaksanakan perancangan strategik yang dirancang.

Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan memberi penegasan tersebut dalam perjumpaan dengan kira-kira 5,000 orang staf kumpulan pelaksana secara bersemuka dan dalam talian hari ini.

"Saya sangat terkesan dengan kajian yang dibuat baru-baru ini tentang kesiapsiagaan staf menghadapi persaraan yang menunjukkan ramai yang tidak bersedia dan ada yang dalam keberhutangan yang besar.

"Ramai yang tidak mengambil tahu dan membuat persediaan kelangsungan keluarga selepas bersara," kata beliau.

Tegasnya, universiti sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membantu staf terutamanya kumpulan pelaksana termasuk anak-anak mereka.

"Kita akan mewajibkan mereka mengikuti kursus-kursus khas dan libatkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendidik staf menguruskan kewangan peribadi," kata Faisal Rafiq.

USM menyediakan pelbagai skim pinjaman mudah dan Tabung Kebajikan dengan nilai ganjaran yang lebih besar untuk membantu staf dan keluarga mereka.

"Kita malah sedia membantu staf yang mempunyai anak kelainan upaya, meningkatkan kemajuan pembelajaran dan mencungkil bakat termasuk melalui akademi sukan dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada di kampus sepenuhnya," tambah Naib Canselor.

Jelas beliau, universiti juga sedang mencari kaedah untuk menyediakan pengangkutan kepada mereka yang tinggal di sekitar Seberang Jaya dan menyesuaikan dengan kaedah kerja dari rumah untuk memberi kemudahan kepada staf.

Hal ini akan membolehkan mereka terutamanya ibu-ibu memberikan masa yang lebih kepada pengurusan keluarga.

Universiti juga merancang membina kuarters untuk staf di kawasan Taman Rekreasi Universiti yang akan membolehkan staf menjimatkan pendapatan untuk membeli rumah sendiri dalam jangka panjang.

"Kerana itu, saya juga menyeru warga staf terutamanya kumpulan pelaksana untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga amanah dan tanggungjawab serta melihat kepada pengurusan aset universiti dengan lebih baik agar lebih berakauntabiliti dan mengelakkan dari dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa," tegas Naib Canselor.

CDH 9041

Pengurusan aset universiti penting untuk membolehkan universiti dapat terus menyediakan kemudahan yang perlu dalam tugas-tugas utamanya terutamanya di makmal.

Yang hadir sama ialah Presiden Kesatuan Kakitangan Am USM, Ahmad Rizwan Zulkharnain dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Menjawab satu soalan Ahmad Rizwan berkata, pihaknya mendapat kerjasama padu daripada Universiti dalam menjaga kebajikan kakitangan.

"Kami berterima kasih kepada Naib Canselor dan Pengurusan Universiti yang sentiasa berbincang dan menyokong aktiviti dan usaha yang kami lakukan selama ini," kata Ahmad Rizwan.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 552

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024