USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-PDM KOLABORASI BANTU SERLAHKAN POTENSI ANAK-ANAK DISLEKSIA

F58AEDD8 0A09 450E 90F3 6DD5D616143F

USM PULAU PINANG, 28 April 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui penglibatan Muzium Galeri dan Tuanku Fauziah (MGTF) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM) Cawangan Utara hari ini.

Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili Naib Canselor USM disertai Pengarah MGTF, Profesor Madya Hasnul Jamal Saidon, manakala pihak PDM pula diwakili oleh Presidennya, Aziun Khalilah Haron.

DD390A63 7AB2 4825 B9EA 83A37AF6ED7F

Menerusi MGTF, MoU berkenaan bertujuan untuk melibatkan peranan USM dalam konteks sumbangan kepakaran, kemudahan infrastruktur dan prasarana untuk menyantuni dan membantu perkembangan anak-anak disleksia, yang mana ia sejajar dengan penekanan terhadap sifat kasih dan belas dalam memacu usaha-usaha pemurnian hubungan antara USM dengan masyarakat umum.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, dengan MoU ini, MGTF USM akan dapat menawarkan kepakaran teori dan praktis dalam bidang-bidang bersangkutan dengan pembelajaran kreatif, terapi seni, seni halus, seni reka komunikasi grafik, seni reka dan seni muzik kepada anak-anak disleksia.

“USM juga akan menawarkan beberapa ruang fizikal, prasarana, sumber-sumber di MGTF dan persekitaran alamiahnya sebagai lokasi perjumpaan, perbincangan, kuliah, aktiviti pembelajaran seni sains dan budaya, aktiviti penerokaan dan permainan, penghasilan karya-karya kreatif dan pameran serta persembahan,” jelasnya.

“Diharap kaedah ko-kreasi yang diterap khususnya dalam meneroka dan merealisasikan imaginasi dunia anak-anak disleksia ke dalam bentuk penerbitan produk-produk komersil seperti buku, bahan cetak yang lain, tayangan video, pameran fizikal dan atas talian serta persembahan interaktif boleh membantu menjana pendapatan di samping meningkatkan kesedaran khalayak umum terhadap potensi anak-anak disleksia,” katanya.

Tambah Abdul Rahman lagi, secara ringkasnya, MGTF USM akan menjadi ruang pembelajaran, penerokaan, kajian, pemerhatian dan pembangunan potensi anak-anak disleksia.

A1211B42 EC2A 4A58 A421 413D92F07804

Aziun Khalilah pula berkata, anak-anak disleksia jika dibantu di peringkat awal pembelajaran mereka, In Sya Allah anak-anak ini akan berjaya setara dengan anak-anak biasa.

“Ada di antara anak-anak yang mengalami disleksia apabila dewasa telah berjaya menjadi doktor, pensyarah, pakar IT, jurutera dan sebagainya dan dengan kepakaran yang mereka miliki, mereka dapat menyumbang kembali kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sementara itu, Hasnul berkata, terdapat tujuh pengamal kreatif profesional yang akan bekerjasama dan mencipta bersama-sama dengan tujuh kanak-kanak disleksia untuk menghasilkan pameran interaktif dan mengasyikkan di MGTF yang dikenali sebagai Denai Sutra.

Hasnul juga berharap agar anak-anak disleksia ini dapat dibantu untuk meneroka laluan kreatif mereka sendiri di luar sistem akademik sedia ada dan MGTF akan menyediakan ruang studio dan bengkel serta bimbingan kreatif kepada mereka.

Turut hadir adalah Pengarah Program, Mohamad Shilby Hassan; Ikon Dyslexia, Ts. Muhamad Hafiz Mohamed Ali; pegawai-pegawai utama universiti dan persatuan serta ibu bapa dan anak-anak disleksia.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 624

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024